KUALA LUMPUR – Penonton ‘OlaBola The Musical’, yang berdasarkan filem pada 2016, ‘OlaBola’, akan menikmati pengalaman berada di ‘stadium sebenar’ melalui teknologi pementasan digital baru yang akan digunakan di Istana Budaya buat pertama kali.
Pengasas Enfiniti (M) Sdn Bhd, Puan Sri Tiara Jacquelina berkata pementasan muzikal akan berlangsung mulai 8 Februari hingga 11 Mac dengan kerjasama Celcom Axiata sebagai rakan kongsi digital rasminya.
Tiara berkata penonton akan mengalami suasana Stadium Merdeka pada 1980 semasa perlawanan kelayakan Olimpik yang menarik, dengan kandungan visual di skrin besar LED, penayangan 180 darjah, pemetaan lantai digital, visual animasi, pencahayaan yang canggih dan suasana stadium meriah dengan bunyi sekeliling 360 darjah.
“Bentuk teknologi digital ini membuka dunia baru dalam reka bentuk yang indah. Sebagai pencipta dan pengguna teknologi digital, Enfiniti komited untuk terus membawa seni persembahan dan hiburan ke peringkat baru dengan setiap produksi baru.
“Ini akan membawa teater ke tahap yang baru, bukan hanya di Malaysia atau Asia Tenggara, tetapi mungkin kali pertama di dunia, teater muzikal mengalami seperti ini. Ia pastinya satu perubahan,” katanya semasa mengumumkan perkongsian dengan Celcom Axiata, di sini, hari ini.
OlaBola mengisahkan pasukan bola sepak negara, Harimau Malaya, dan perjalanannya untuk layak ke Sukan Olimpik 1980. Filem berkenaan diarahkan oleh Chiu Keng Guan dan meraih RM16.67 juta pada 2016.
OlaBola The Musical, yang akan mempunyai jalan cerita yang sama seperti filem, diarahkan oleh Tiara dan diterbitkan oleh Enfiniti, yang sebelum ini menghasilkan teater musikal terkenal seperti Puteri Gunung Ledang and P.Ramlee The Musical. – BERNAMA
Loading...