loading...

FMLLP Umum Venue Rasmi Pasukan Selangor Esok

SHAH ALAM – Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) akan mengumumkan esok venue rasmi yang bakal menjadi tuan rumah skuad Selangor bagi saingan kempen Liga Malaysia musim ini, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Datuk Seri Subahan Kamal.

Beliau berkata pasukannya tidak akan ‘terganggu’ dengan isu stadium mana yang bakal menjadi stadium tuan rumah, sebaliknya akan fokus dengan persiapan pasukan untuk saingan Liga Super Malaysia yang akan bermula tidak lama lagi.

“Bagi FAS, kita tidak menghadapi masalah untuk bermain di mana-mana stadium,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengenalan Jersi Baharu Pasukan Liga Super Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kegagalan pasukan Selangor mendapatkan gelanggang rasmi untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini apabila pasukan itu tidak dibenarkan menjadikan Stadium Nasional, Bukit Jalil sebagai venue rasmi.

Stadium yang mampu memuatkan kira-kira 90,000 penonton itu dikatakan padat dengan aktiviti sepanjang tahun termasuk menjadi gelanggang Kejohanan Ragbi Asia, sekali gus The Red Giants kini perlu mencari venue alternatif sebelum kempen Liga Malaysia 2018 menyingkap tirainya 3 Februari ini.

Dalam pada itu, Subahan berkata pihak pengurusan telah berusaha untuk membolehkan pasukan Selangor bermain di beberapa stadium termasuk di Kuala Lumpur dan Selayang, justeru biar masa menentukan di mana pasukan Selangor bakal bermain sebagai tuan rumah.

Beliau berkata kekuatan sebenar pasukan Selangor bukan sahaja terletak kepada pemain tetapi kepada penyokong The Red Giants yang sanggup hidup dan mati bersama pasukan merah kuning tersebut.

“Dalam masa lima tahun ini jika saya masih lagi menjadi Presiden FAS, in sya Allah kita akan mempunyai stadium sendiri. Tak perlulah The Red Giants mengharapkan sesiapa,” katanya.

Sementara itu, jurulatih pasukan Selangor, P. Maniam, berkata pasukannya menyasarkan kelompok tiga terbaik dalam saingan Liga Super kali ini dengan kemasukan pemain import baharu dari Sepanyol, Alfonso Druz, 31.

Untuk rekod, Selangor menamatkan saingan Liga Super musim lepas di tempat keenam dengan 33 mata.

“Kita sekarang menghadapi kekurangan bagi defending midfield. Kita ada banyak player attacking dan kita perlu defending midfield. Sebab itulah kita bawa pemain ini,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...