Sumber Foto: sciencenotes.org
Kebanyakan dari kita berpendapat bahawa orang buta penglihatan hanya nampak suatu imej atau gambaran kegelapan. Tanggapan ini sebenarnya tidak tepat kerana buta ada jenis-jenisnya.
Bagaimana pula dengan mimpi yang mereka alami? Apakah gambaran yang terlihat oleh mereka? Teruskan membaca. Semoga bermanfaat untuk semua.
Apa Sebenarnya Gambaran Yang Orang Buta Sejak Lahir Nampak
Pendapat yang mengatakan orang buta hanya boleh melihat gambaran kehitaman adalah salah kerana seseorang yang buta sejak lahir tidak mempunyai gambaran penglihatan untuk dibandingkan. Mereka tidak dapat melihat apa-apa.
Bagi kita yang celik, cuba bayangkan situasi ini. Tutup sebelah mata dan gunakan sebelah mata lagi untuk fokus tumpuan penglihatan terhadap sesuatu. Adakah mata yang tertutup rapat itu dapat melihat sesuatu? Sudah tentu tidak.
Apa Sebenarnya Gambaran Orang Celik, Kemudiannya Menjadi Buta Nampak
Sumber Foto: newyorker.com
Bagi seseorang yang celik kemudiannya menjadi buta mungkin akibat penyakit, kemalangan dan sebagainya, pengalaman penglihatan adalah berlainan berbanding mereka yang buta sejak lahir.
Sesetengah orang buta daripada golongan ini menyatakan mereka hanya nampak kegelapan atau gambaran hitam, seperti berada di dalam gua. Sesetengah yang lain pula mempunyai pengalaman yang berbeza, ada yang nampak percikan api, dan ada yang mengalami halusinasi visual yang terang dalam pelbagai bentuk dan warna.
Penglihatan jenis ini adalah ciri khas Charles Bonnet Syndrome (CBS). CBS boleh terjadi dalam bentuk kekal mahupun sekali sekala. Ianya bukan sejenis penyakit mental dan tiada sebarang kaitan dengan kerosakan otak.
Adakah Orang Buta Dapat Melihat Mimpi Mereka?
Sumber Foto: lifedaily.com
Semua manusia bermimpi, termasuklah mereka yang buta penglihatan. Bagi mereka yang dilahirkan buta, mimpi mereka kosong, tiada sebarang imej. Namun, mimpi tersebut boleh mempunyai bunyi, sentuhan, bau, rasa dan perasaan.
Bagi mereka yang dilahirkan celik kemudian menjadi buta, pengalaman mimpi yang dialami adalah berbeza berbanding mereka yang dilahirkan buta. Imej sesuatu objek atau keadaan dalam mimpi bagi golongan ini bergantung kepada pengalaman atau penglihatan yang mereka lihat semasa mereka masih celik.
Buta Warna & Gambaran Yang Dilihat Semasa Mimpi
Sumber Foto: forhealthylifestyle.com & newstalk.com
Selain buta sejak lahir dan buta akibat kemalangan, terdapat beberapa jenis buta yang lain. Jenis-jenis buta ini bergantung kepada tahap penglihatan, sama ada buta keseluruhan, atau buta separa. Antara jenis buta lain yang utama adalah buta warna.
Buta warna adalah sejenis buta. Buta warna juga mempunyai jenis-jenisnya, iaitu deuteranomalia, protanopia dan buta warna keseluruhan (penglihatan hitam putih). Deuteranomalia adalah buta warna paling umum.
Protanopia agak jarang dengan hanya 1% penghidap dari keseluruhan mereka yang buta warna. Buta warna keseluruhan pula sangat jarang berlaku, dengan hanya 0.00003% daripada kalangan populasi dunia.
Penghidap buta warna tidak dapat melihat warna-warna baru ketika mimpi. Seperti kehidupan realiti, mereka boleh melihat warna-warna tertentu sahaja ketika mimpi, bergantung kepada jenis buta warna yang mereka hidapi.
Kesimpulan
Kesimpulannya, gambaran yang dilihat oleh orang buta bergantung kepada jenis buta yang dialami, sama ada buta sejak lahir, buta akibat kemalangan mahupun buta warna. Begitu juga dengan mimpi, gambaran yang dilihat bergantung kepada pengalaman dari segi penglihatan.
Rujukan:
- thoughtco.com
- tipsiana.com