loading...

Pembangkang Tersepit Cuba Tagih Sokongan Pihak Luar

KUALA LUMPUR — Pertemuan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan duta dan wakil dari negara Kesatuan Eropah (EU) baru-baru ini dilihat sebagai cubaan mendapatkan sokongan pihak luar sekiranya keputusan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti tidak memihak kepada pembangkang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata pertemuan itu diadakan kerana pembangkang kini berada dalam keadaan tersepit kerana tidak mempunyai peluang dalam negara ini dan terpaksa mendapatkan sokongan pihak luar.

“Mereka terpaksa menggunakan kuasa asing, mengadu kepada kuasa asing dengan harapan bahawa apa-apa keputusan yang bakal berlaku dalam PRU nanti boleh dianggap sebagai sesuatu yang boleh dipertikaikan.

Mereka mahu timbulkan kontroversi dan mereka mahu mainkan (sentimen) rakyat kononnya sistem (pilihan raya) kita ini tidak adil,” kata presiden UMNO itu pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi parti berkenaan di sini hari ini.

Beliau mengulas pertemuan Dr Mahathir yang disertai beberapa lagi pemimpin pembangkang dengan 14 duta dan tiga wakil negara EU di ibu negara pada 26 Jan lalu.

Dalam pertemuan itu, pembangkang dilaporkan menggesa negara-negara Eropah memohon kepada kerajaan Malaysia untuk membenarkan mereka menghantar pemantau pilihan raya antarabangsa untuk PRU14.

Najib seterusnya berkata Dr Mahathir perlu sedar bahawa sistem pilihan raya yang diamalkan negara ketika ini adalah sistem yang sama yang telah mengangkatnya sebagai perdana menteri selama 22 tahun.

Justeru, beliau berkata adalah aneh untuk pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mengkritik sistem pilihan raya negara apatah lagi ia hari ini telah diperkukuh menjadi lebih telus.

“Kita ada polling agents (ejen pengundian), kita ada counting agents (ejen pengiraan undi) dan kita ada sistem dakwat dan sebagainya, jadi peluang untuk menipu boleh dikatakan tiada langsung. Macam mana mereka boleh kata bahawa PRU tidak adil.

“Soalnya kenapa selama 22 tahun dia (Dr Mahathir) tidak merungut sistem SPR pada masa itu… dan sistem itulah yang sama kita amalkan pada hari ini malah lebih baik daripada dulu,” ujar perdana menteri.

Dalam pada itu, Najib mempersoal keupayaan PPBM untuk mengambil alih peranan UMNO dan Barisan Nasional mentadbir negara sedangkan parti yang baharu ditubuhkan itu dilihat berdepan konflik dalam pengurusannya.

“Kalau diambil dari segi prinsip perlembagaan parti, kalau kita mahu buat perlembagaan sendiri kita kena patuh kepada perlembagaan kita. Tetapi saya diberitahu bahawa di peringkat cawangan, di peringkat bahagian mereka (PPBM) tidak menjalankan mesyuarat tetapi di peringkat nasional ada perhimpunan.

“Kita tidak tahu daripada mana perwakilan itu datang dan bagaimana mereka pilih perwakilan ke perhimpunan di peringkat nasional itu,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...