loading...

Kempen Undi Rosak Usaha Sabotaj PRU – Adnan

KUANTAN – Kempen #undi rosak yang dilancarkan kumpulan tertentu dilihat sebagai usaha untuk mensabotaj pilihan raya umum yang bakal diadakan selain bertujuan mengurangkan sokongan rakyat terutama golongan muda terhadap Barisan Nasional (BN).

Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kempen itu secara langsung menunjukkan pembangkang kini semakin khuatir dengan sokongan padu yang diberikan oleh golongan itu terhadap BN dan mahu mengurangkannya.

“Jangan peduli dengan kempen sedemikian… kita buat kerja seperti biasa, kerja dengan ikhlas untuk memastikan rakyat berpuas hati dengan apa yang kita lakukan dan saya yakin jika kita buat kerja seperti biasa… rakyat boleh menilai.

“Kita ini, kalau orang (rakyat) suka, buat apa pun mereka boleh terima, samalah juga kalau sudah tidak suka, kita buat apa pun tidak kena pada mereka…yang penting kepada UMNO dan BN jangan pedulikan pertelingkahan, kelemahan orang lain,” katanya.

Adnan, yang juga Menteri Besar Pahang, berkata demikian kepada media selepas Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Pahang Bersama Warga Kem Galing di Markas Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), di sini, hari ini.

Program itu turut dihadiri oleh Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Abdul Rahman dan Komander Briged Tenggara, Datuk Roslan Bek Ahmad.

Pada majlis itu, Adnan turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM50,000 bagi kegiatan di Markas Briged Tenggara dan RM10,000 bagi setiap batalion yang bernaung di bawah briged berkenaan.

Kempen #undirosak yang dilancarkan kumpulan tertentu dipercayai bertujuan untuk mempengaruhi golongan pengundi muda bagi merosakkan undi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Tanda pagar itu muncul di laman sosial terutama Twitter pada 7 Jan lalu selepas pakatan pembangkang menamakan Pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohammad sebagai calon perdana menteri jika pakatan itu menang PRU14 nanti. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...