loading...

Bagan Datuk Bakal Miliki Kilang Pasang Trak, Lori

BAGAN DATUK – Sebuah kilang pemasangan trak dan lori akan dibangunkan di sini sebagai antara usaha menyediakan peluang pekerjaan untuk penduduk daerah ini, terutama golongan belia, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu.

Ketika mengumumkan berita gembira itu hari ini, Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan telah mengadakan rundingan dengan Sime Darby selaku pemilik tanah seluas 161.8 hektar sebagai lokasi kilang tersebut.

“Sebuah kilang memasang trak dan lori atau lori akan dibina di sini sekali gus membuka 4,000 peluang pekerjaan dan saya minta keutamaan (peluang kerja) itu diberikan kepada penduduk Bagan Datuk.

“Sehubungan itu, anak-anak muda Bagan Datuk mesti menyahut cabaran ini,” katanya ketika berucap pada majlis sepetang bersama Timbalan Perdana Menteri di Sungai Tiang Darat di sini, hari ini.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk berkata kewujudan kilang itu juga akan memberi manfaat kepada bakal lepasan Politeknik Bagan Datuk dan Kolej Komunti Bagan Datuk.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata beliau akan meminta peruntukan daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi pembinaan inap desa di daerah Bagan Datuk untuk menampung permintaan pelancong.

Beliau berkata, setakat ini hanya terdapat 200 buah inap desa berbanding sekurang-kurangnya 500 kemudahan sama dalam usaha memenuhi keperluan pengunjung ke daerah tersebut.

“(Jumlah itu) tidak mencukupi untuk pelancong yang datang ke Bagan Datuk kerana di sini tidak banyak hotel. Apabila tiada hotel (di Bagan Datuk) mereka terpaksa menginap (di hotel) di luar Bagan Datuk.

“Inap desa itu pula perlu diubah suai untuk dilengkapi sekurang-kurangnya sebuah bilik selain bilik air dan pendingin hawa.

“Ini akan memberi pendapatan tambahan kepada orang kampung. Kalau dahulu (kadar bayaran inap desa semalam sebanyak) RM50 tetapi sekarang jumlahnya lebih daripada itu,” katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan pembinaan sebuah Hotel Seri Malaysia yang dilengkapi 200 hingga 250 buah bilik di daerah berkenaan.

Menurutnya, butiran lanjut mengenai pembinaan hotel itu akan diumumkan kemudian. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...