loading...

KRM Mahu Program Latihan Skuad 75 Wanita Diteruskan

KUALA LUMPUR – Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) mahu program latihan untuk skuad tujuh sebelah (7s) wanita dapat diteruskan tahun ini bagi mengekalkan momentum prestasi pemain.

“Selepas berjaya meraih pingat gangsa pada temasya Sukan SEA lepas (KL2017), kita (KRM) tidak mahu pemain-pemain hilang momentum,” kata Presidennya, Datuk Shahrul Zaman Yahya ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja bagi Sukan Ragbi di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Menurut Shahrul Zaman, pada mesyuarat berkenaan KRM memohon kepada MSN untuk memberi sokongan dan merancang bersama program latihan untuk skuad wanita itu.

“Walaupun tidak terpilih ke Sukan Komanwel (Gold Coast) dan Sukan Asia (Jakarta-Palembang) seperti mana skuad lelaki, mereka sudah pasti akan beraksi di Sukan SEA 2019 di Filipina,” katanya.

Pada mesyuarat hari ini, Shahrul Zaman berkata MSN telah bersetuju untuk membantu dan meminta KRM menyediakan kertas kerja program cadangan yang akan dilaksanakan untuk skuad berkenaan sepanjang tahun ini.

Program berkenaan, katanya, bukanlah program latihan sepenuh masa tetapi berkala dengan menyediakan peluang-peluang menyertai kejohanan atau perlawanan persahabatan.

Mesyuarat hari ini juga membincangkan persiapan khusus skuad 7s lelaki yang akan beraksi di Sukan Komanwel Gold Cost dan juga Sukan Asia Jakarta-Palembang, katanya.

“Kita bincangkan untuk kemas kini gerak kerja kita dan juga dari segi memuktamadkan senarai pemain untuk membawa cabaran Malaysia,” kata Shahrul Zaman.

Menurutnya, KRM bersama MSN juga turut membincangkan mengenai khidmat penasihat teknikal untuk memantau aspek kejurulatihan dan persiapan atlet.

Katanya, KRM sedang memantau beberapa nama yang berkaliber termasuk, bekas pemain New Zealand All Black Edwin Cocker untuk mengisi jawatan itu.

Cocker sebelum ini dilantik KRM sebagai jurulatih teknikal untuk skuad 7s lelaki dan wanita negara dalam persiapan menghadapi temasya KL2017. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...