Bayangkan hidup anda tanpa kertas. Walaupun zaman sekarang merupakan era teknologi yang menggunakan email dan buku digital, kertas tetap terus digunakan. Beg beli belah, duit kertas, resit kedai, kotak bijirin dan macam-macam lagi semuanya diperbuat daripada kertas.
Menurut sumber sejarah China purba, seorang sida mahkamah yang bernama Ts'ai Lun (atau Cai Lun) telah membentangkan kertas yang baru dicipta kepada Maharaja Hedi (Maharaja Dinasti Han Timur) pada tahun 105 AD.
Penemuan arkaeologi dari barat China dan Tibet menunjukkan bahawa kertas telah dicipta beberapa ratus tahun lebih awal lagi.
Sampel kertas yang lebih lama, sesetengah daripadanya dihasilkan sekitar tahun 200 BC telah ditemui di bandar purba Laluan Sutera (Silk Road) iaitu bandar Dunhuang dan Khotan, dan juga di Tibet.
Cuaca kering di tempat-tempat ini membolehkan kertas berkenaan untuk bertahan sehingga 2000 tahun tanpa reput sepenuhnya.
Menariknya, ada juga kertas yang mempunyai kesan dakwat, membuktikan bahawa dakwat juga telah dicipta lebih awal daripada waktu yang ahli sejarah sangkakan.
Medium Penulisan Sebelum Penciptaan Kertas
Sumber Foto: ccat.sas.upenn.edu
Manusia sudah menulis lebih awal daripada penciptaan kertas. Antara medium permukaan yang digunakan untuk penulisan termasuklah kulit kayu, sutera, kulit haiwan, batu dan lain-lain.
Di China, kebanyakan hasil penulisan awal telah direkodkan di atas jalur buluh yang panjang, yang kemudiannya dilekatkan bersama ke kulit ataupun terus dibukukan.
Manusia di seluruh dunia daripada lain-lain tamadun pula mengukir notasi penting ke batu atau tulang. Sesetengah tamadun menggunakan teknik penulisan di atas tanah liat lembab yang kemudian dikeringkan.
Walaubagaimanapun, hasil penulisan memerlukan medium yang murah dan ringan agar mudah untuk dikendalikan di mana-mana sahaja.
Penghasilan Kertas Oleh Masyarakat Purba China
Sumber Foto: crystalinks.com
Teknik penghasilan kertas pada zaman purba di China menggunakan serat rami (ganja) sebagai bahan. Serat ini direndam di dalam air dan ditumbuk menggunakan sebatang kayu besar.
Buburan yang terhasil kemudian dituang ke dalam acuan. Kain tenunan longgar dihampar ke atas struktur buluh, membolehkan air untuk menetes keluar daripada bawah, menghasilkan sekeping lembaran kertas yang rata.
Lama kelamaan, pembuat kertas mula menggunakan bahan lain untuk menghasilkan produk mereka, antaranya termasuklah buluh, mulberi dan lain-lain jenis kulit kayu. Mereka mewarnakan kertas untuk tujuan rekod rasmi menggunakan bahan berwarna kuning.
bahan dan warna imperial tersebut turut mempunyai manfaat tambahan sebagai penghalau serangga yang berupaya merosakkan kertas.
Antara format paling lazim kertas pada zaman dahulu adalah dalam bentuk skrol. Beberapa keping kertas panjang dilekatkan bersama untuk menghasilkan sekeping jalur, yang kemudiannya dibalut ke atas roller kayu.
Bahagian hujung kertas dilekatkan pada sebatang rod nipis, bersama sekeping kod sutera di tengah bagi mengikat skrol.
Tersebarnya Teknik Penghasilan Kertas
Sumber Foto: poopoopaper.com
Bermula di China, idea dan teknologi penghasilan kertas akhirnya tersebar ke seluruh pelusuk Asia. Pada tahun 500 AD, artisan di semenanjung Korea mula menghasilkan kertas menggunakan bahan yang sama seperti yang digunakan di China.
Artisan Korea kemudiannya mula menggunakan lain-lain bahan seperti jerami padi dan rumpai laut untuk penghasilan kertas.
Teknik penghasilan kertas yang dipelajari merancakkan lagi inovasi percetakan di Korea. Mereka menambah baik teknik percetakan dengan penciptaan struktur besi boleh gerak pada tahun 1234 AD.
Menurut lagenda, sekitar tahun 610 AD, seorang sami Buddha dari Korea yang bernama Doncho telah memperkenalkan teknik penghasilan kertas kepada Maharaja Kotoku di Jepun.
Teknologi penghasilan kertas turut tersebar ke barat melalui Tibet dan ke selatan di India.
Kertas Sampai Ke Timur Tengah & Eropah
Sumber Foto: pinterest.com
Sumber Foto: paper.lib.uiowa.edu
Pada tahun 751 AD, tentera Tang dari China dan tentera Empayar Abbasiyah telah bertembung di dalam Pertempuran Sungai Talas (Battle of Talas River), yang kini dikenali sebagai Kyrgyzstan.
Antara kesan menarik daripada kemenangan bangsa Arab adalah penangkapan artisan China, termasuklah pakar pembuat kertas seperti Tou Houan, yang ditangkap dan dibawa pulang ke Timur Tengah.
Pada masa itu, Empayar Abbasiyah meliputi kawasan daripada Sepanyol dan Portugal di barat sehinggalah Afrika Utara ke Asia Tengah di timur. Jadi, pengetahuan tentang kertas tersebar dengan pantas dan jauh.
Tidak lama kemudian, bandar-bandar dari Samarkand (kini Uzbekistan) hingga ke Damsyik dan Kaherah telah menjadi pusat penghasilan kertas berskala besar.
Pada tahun 1120 AD, bangsa Moorish telah menubuhkan sebuah kilang penghasilan kertas pertama di Eropah, iaitu di Valencia, Sepanyol. Dari situ, penciptaan bangsa China ini diturunkan kepada Itali, Jerman, dan seluruh Eropah.
Kertas membantu menyebarkan pengetahuan, kebanyakannya diperolehi daripada budaya Asia yang hebat yang berpusat di Laluan Sutera.
Rujukan:
- bbc.com
- thoughtco.com
- silk-road.com