KOTA BHARU – Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengadakan perjumpaan dengan pimpinan Badan Perhubungan UMNO Kelantan dan Barisan Nasional (BN) Kelantan.
Pertemuan tertutup lebih sejam bermula pukul 2.40 petang itu turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan timbalannya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Perdana Menteri dalam lawatan kerja sehari ke negeri ini, menamatkan lawatannya dengan menghadiri perjumpaan dengan lebih 1,500 anggota Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan di sebuah hotel di sini.
Ketika diminta mengulas pertemuan tersebut, Ketua UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa berkata perdana menteri menekankan supaya rakyat negeri ini diberikan penerangan yang jelas berkaitan pelbagai projek pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan BN di Kelantan.
Beliau berkata ini terutamanya projek pembinaan Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) yang diilhamkan perdana menteri yang akan menjadi titik perubahan besar kepada Kelantan ke arah sebuah negeri yang lebih berdaya saing. – BERNAMA
Loading...