SEREMBAN – Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Seri Mohamad Hasan berharap skuad Liga Super negeri ini dapat menghadiahkan sekurang-kurangnya satu piala buat penyokong setia mereka.
Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata beliau tidak meletakkan sebarang penanda aras buat pasukan negeri ini supaya mereka tidak dibeban tekanan namun berharap ia berada dalam kelompok lima teratas dalam Liga Super.
“Apa yang saya lihat selepas beberapa perlawanan persahabatan, pegawai dan pemain perlu lebih menajamkan serangan…jangan hanya melakukan serangan dari tengah tetapi menggunakan sayap kiri dan kanan dengan hantaran lintang kerana ini boleh mengejutkan pihak lawan.
“Sekarang ini, pada tiga perlawanan pertama kita akan menentang pasukan yang pernah bersaing dalam Liga Perdana. Ini peluang yang baik untuk mengumpul mata bagi membina semangat sebelum bertemu dengan gergasi di Liga Super,” katanya pada sidang media sempena pelancaran jersi PBNS di sini, malam ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Mat Ali Hassan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban Datuk Abd Halim Abd Latif.
Mengulas lanjut, Mohamad yakin Skuad Rusa dapat bermain dengan baik lebih-lebih lagi dengan sokongan padu penyokong setia, yang dapat menaikkan moral pemain serta mutu permainan mereka.
Terdahulu, Mohamad dalam ucapannya berkata jersi itu sengaja diperkenalkan lewat bagi mengelakkan penyokong mendapat jersi tidak tulen.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada syarikat Al-Ikhsan Sport Sdn Bhd yang menaja jersi itu untuk pasukan Liga Super, Piala Presiden dan Liga Belia. – BERNAMA
Loading...