Kredit foto: BH Online
Aktor Fizz Fairuz berharap netizen memahami punca sebenar dirinya dikurniakan penganugerahan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa kepada gelaran Datuk.
Pemilik nama penuh Mohd Fairuz Zainal Abidin ini menjelaskan dia banyak terlibat dalam aktiviti pelancongan di negeri kelahirannya itu menerusi syarikatnya, Rain Maker Creation Sdn Bhd.
"Saya anak jati Raub. Mungkin orang tidak tahu tetapi saya banyak buat kerja untuk promosi pelancongan dan budaya Pahang selain menjadi ikon JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) Pahang.
"Saya harap mereka faham mengapa saya diberikan pengiktirafan ini," katanya memetik laporan Bernama.
Dalam masa sama, pelakon filem Munafik ini akur dengan tanggungjawab berat yang bakal dipikulnya selepas menerima gelaran itu.
Fizz menjadi antara 197 penerima darjah kebesaran dan pingat sempena istiadat Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang yang berlangsung di Istana Abu Bakar, Pekan, semalam.
Fizz menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.
Istiadat disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.