loading...

5 Kegunaan Lain Drone Selain Daripada Menangkap Gambar dan Video

Drone bukanlah satu teknologi baru. Kini, sesiapa sahaja mampu membeli drone. Pelbagai drone yang dijual di pasaran yang menawarkan kualiti yang berbeza. Sekiranya anda sekadar hendak mencuba, bolehlah beli drone yang berharga lebih murah dahulu.

Bagi yang gemar mengambil gambar dan video, anda boleh membeli drone yang didatangkan dengan fungsi kamera. Walaupun harganya lebih mahal, ianya pasti satu pelaburan yang menguntungkan sekiranya anda memanfaatkan sebaik mungkin. Bagi yang lebih berkemampuan, bolehlah melabur wang untuk mendapatkan drone berteknologi tinggi yang didatangkan dengan kamera anti-gegaran, bateri yang tahan lebih lama, fungsi GPS dan sebagainya.

Selain daripada mengambil gambar dan rakaman video, apa lagi yang boleh dibuat dengan drone? Kali ini kami ingin berkongsi 5 cara lain drone boleh digunakan.

1. Servis menghantar barangan

servis penghantaran drone 68

Antara syarikat terawal yang mencetuskan idea servis penghantaran barangan menggunakan drone adalah Amazon. Menurut Amazon, penghantaran menggunakan drone yang diberi nama Prime Air membolehkan barangan yang dibeli pengguna dihantar dalam masa beberapa jam sahaja selepas pembeli membuat bayaran berbanding servis penghantaran biasa yang mengambil masa satu hari atau lebih.

Selain itu, Domino's Pizza, iaitu syarikat yang menyediakan hidangan pizza turut berminat dengan idea penghantaran pizza menggunakan drone. Buat masa ini, beberapa eksperimen penghantaran pizza telah dijalankan di New Zealand dan servis ini dijangka akan digunakan pada masa akan datang disamping servis penghantaran menggunakan kenderaan.

2. Intipan

pengintipan menggunakan drone 129

Antara isu utama yang wujud akibat peningkatan penggunaan drone adalah isu privasi. Penggunaan drone membolehkan pengguna mengambil gambar atau merakam video dari udara tanpa dikesan oleh mangsa.

Malah, di sesetengah negara juga undang-undang penggunaan drone yang ketat juga diperkenalkan bagi menghalang kawasan-kawasan milik kerajaan diintip oleh drone. White House, iaitu kediaman rasmi Presiden Amerika Syarikat juga dikatakan telah dilengkapi dengan senapang anti-drone yang akan menyahaktifkan drone yang cuba memasuki ruang udara White House.

3. Props penggambaran filem

props menggunakan drone

Penggunaan drone untuk merakam filem sudah menjadi kebiasaan. Namun, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa drone itu sendiri boleh digunakan sebagai props dalam sesuatu filem. Dalam filem Fantastic Four, drone telah digunakan sebagai props untuk watak Johny Storm.

Lengkap dengan rupa bentuk badan manusia dan api, drone telah digunakan untuk memaparkan pergerakan watak Johny Storm terbang di udara. Segalanya kelihatan sempurna dan sangat realistik. Kelihatan drone tersebut adalah seperti seorang manusia yang terbang di udara.

4. Senjata

senjata drone

Penggunaan drone sebagai senjata bukanlah suatu yang rahsia. Malah Amerika Syarikat juga dikatakan melabur jutaan ringgit untuk tujuan ini. Drone menjadi pilihan memandangkan saiznya yang kecil dan ianya tidak akan mengorbankan nyawa manusia sekiranya ditembak oleh musuh.

Di Amerika Syarikat, pernah tersebar sebuah video yang memaparkan drone yang dilengkapi dengan pistol dan mampu menembak di udara. Akibat tersebarnya video itu, seorang pemuda yang juga merupakan penciptanya telah ditangkap kerana didakwa mempunyai niat tidak elok dengan menghasilkan projek itu.

5. Liputan siaran langsung

liputan siaran langsung guna drone

Selain video yang dirakam, drone juga telah mula digunakan untuk membuat rakaman siaran langsung perlumbaan kereta dan pelbagai acara lain. Terdapat juga teknologi baru yang memboleh drone akan mengikut kemana sahaja objek yang dirakam bergerak.

Penggunaan drone untuk membuat liputan siaran langsung sememangnya memberi kelainan kepada para penonton dimana mereka dapat melihat sesuatu pertandingan itu secara lebih dekat. Dalam satu konferens yang dibuat Facebook, Mark Zuckerberg pernah membuat demonstrasi bagaimana drone keluaran DJi membuat liputan siaran langsung terus ke Facebook melalui fungsi Facebook Live.

Kredit:

  1. Digital Trends
  2. The Verge
  3. CNet
Previous
Next Post »
loading...