Kredit foto: Instagram Marsha
Penyanyi, Marsha Milan Londoh akui selesa tinggal bersama keluarga mentua meskipun sudah berkahwin sejak dua tahun lalu.
Marsha, 31, berkata, kehidupan bersama keluarga besar itu bukan sahaja membuatkan dirinya lebih terdidik, malah proses mendalami ilmu agama Islam menjadi lebih mudah.
"Selepas berkahwin saya masih dalam proses mengenal agama Islam dengan lebih dekat, jadi apabila bersama ibu mentua saya, proses itu menjadi lebih mudah.
"Tahun lepas pun saya berkesempatan untuk mengerjakan umrah bersama-sama keluarga mentua yang banyak dibimbing mereka.
"Semenjak tinggal sebumbung, ibu dan bapa mentua saya juga banyak menolong saya mendekatkan diri kepada agama dan Allah," katanya yang merupakan isteri kepada seorang usahawan.
Marsha membuat kenyataan tersebut di majlis perlantikannya sebagai duta barang kemas De Lunaria yang berlangsung di Restoran Rebung Chef Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Penyanyi yang juga bekas pelajar Akademi Fantasia (AF) musim ketiga ini berkata, dia turut terpengaruh dengan loghat Utara yang menjadi gaya percakapan seharian keluarga mentuanya.
Malah, beliau akui bersedia memikul tanggungjawab watak lakonan yang memerlukannya bercakap dalam loghat itu.
"Ibu mentua saya dari Kedah dan selebihnya dari Pulau Pinang, mula-mula memang kekok untuk saya memahami pertuturan mereka namun lama-kelamaan sudah terbiasa.
"Sekurang-kurangnya kalau ditawarkan watak anak mami saya sudah boleh bercakap loghat Utara," tambahnya.
Dalam masa sama, pengalaman tinggal sebumbung dalam kediaman keluarga besar ini mengajarnya erti berdisiplin untuk bangun awal pagi serta meningkatkan kemahiran memasak menerusi aneka juadah setiap hari.