loading...

3 Individu, Seorang Pegawai JPJ Selangor Ditahan

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor selepas disyaki menerima suapan daripada beberapa buah syarikat pembinaan.

Menurut sumber SPRM, suspek yang berumur 43 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Cawangan Klang, kira-kira 2 petang tadi.

Suspek didakwa melakukan perbuatan tersebut ketika bekerja di Stesen Timbang JPJ Kuala Selangor pada tahun 2015.

“Selain pegawai JPJ itu, SPRM turut menahan tiga lelaki berumur 30, 41 dan 45, antara 2.30 petang dan 4.45 petang tadi, juga di pejabat SPRM Cawangan Klang,” kata sumber berkenaan.

Menurut sumber itu lagi, pegawai JPJ terbabit didakwa memperoleh wang suapan secara bulanan antara RM100 dan RM300 daripada dua buah syarikat sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kesemua suspek akan direman di Mahkamah Majistret Klang esok bagi membantu siasatan. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...