loading...

'Kak Ton' Hadapi 11 Tuduhan Tipu Pakej Umrah dengan Kerugian RM44,000

kak ton hadapi 11 tuduhan tipu pakej umrah dengan kerugian rm44 000

Kredit foto: BH Online / Muhd Asyraf Sawal

Seorang suri rumah tidak mengaku salah di Mahkamah Majistret Rompin semalam terhadap 11 pertuduhan kes penipuan pakej umrah yang dibuat dalam jangka masa antara Disember 2016 hingga Oktober tahun lepas.

Menurut pertuduhan, Zaiton Man (48 tahun) atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Ton dituduh menyediakan pakej umrah ciptaannya sendiri bagi melakukan tipu helah agar kesemua mangsa membayar RM44,000 secara tunai dan menerusi kaedah memindahkan wang ke dalam akaun kepunyannya.

Semua kesalahan itu dibuat tertuduh antara 20 Oktober 2016 hingga 31 Disember 2017 di tiga lokasi iaitu Felda Keratong, Bandar Muadzam Shah dan Bandar Tun Razak di Rompin.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat, serta boleh dikenakan denda sekiranya sabit kesalahan.

Sebaik kertas pendakwaan dibacakan, Majistret Najwa Hashim menetapkan jumlah jaminan keseluruhan RM35,500 dengan seorang penjamin untuk setiap pertuduhan.

Najwa juga menetapkan 15 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk semua 11 pertuduhan yang dibacakan hari ini.

Semua pertuduhan tersebut diu­ruskan Timbalan Pendakwa Raya, Syamsul Kahar Ahmad Nadri. Sementara itu, tertuduh diwakili peguam Osman Abdullah.

Suami tertuduh yang bekerja sebagai anggota agensi keselamatan awam disaksikan membayar ikat jamin berkenaan.

Sumber berita: Kosmo Online

Previous
Next Post »
loading...