loading...

Program Lebensborn : Usaha Nazi Untuk Mencipta Bangsa Jerman

doktrin bayi lebensborn

Lebensborn adalah satu program khas untuk melahirkan bangsa Jerman melalui kelahiran bayi daripada baka ibu bapa yang terpilih. Salah seorang pegawai tertinggi Nazi, Heinrich Himmler merupakan orang yang bertanggungjawab mengetuai program ini yang bermula pada tahun 1935.

Si ibu dan anak yang dilahirkan melalui program ini akan didoktrinkan dengan aliran fahaman Nazi. Walau bagaimanapaun, ia bukanlah satu perkara yang mudah dan mengambil masa yang singkat kerana setiap kelahiran bayi baru akan mengambil masa kira-kira 9 bulan 10 hari.

Selain itu, melalui program ini juga pihak Nazi juga akan mencari kanak-kanak yang dirasakan sesuai dengan ciri-ciri yang diingini untuk dilatih sebagai seorang Nazi. Pencarian ini termasuklah melalui penculikan. Kanak-kanak ini kemudiannya akan dilatih dengan doktrin dan pemilikiran sebagai seorang Nazi. Mereka yang menentang akan dihantar ke kem tahanan dan diseksa.

Penggunaan cara eugenics

bayi bangsa jerman

Sebelum perang lagi, kelahiran bayi baru yang dicatatkan di Jerman sudah berkurang akibat daripada peningkatan sektor perindustrian. Oleh itu, pihak Jerman telah bercadang untuk meningkatkan jumlah kelahiran di negara tersebut. Penguasaan Nazi yang mengharamkan perkahwinan antara bangsa Jerman dan Yahudi menyebabkan usaha meningkatkan kadar kelahiran di negara tersebut semakin sukar.

Cara pihak Nazi ini juga dikenali sebagai eugenics, atau dalam bahasa mudahnya persenyawaan terpilih. Ianya dilakukan dengan memilih manusia yang mempunyai gene tertentu sahaja untuk dibiakkan. Pada masa tersebut, ideologi ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana pihak Amerika Syarikat juga telah mengkaji ideologi ini sejak daripada awal 1930-an lagi.

Kerana desakan kerajaan Nazi mahu meningkatkan kadar kelahiran bangsa Jerman dengan cepat, maka mereka telah mengubah persepsi masyarakat bahawa bayi yang dilahirkan, tidak kira secara sah atau tidak sah taraf, dianggap sebagai satu yang membanggakan. Seorang ibu yang melahirkan anak tidak sah taraf tidak dipandang serong oleh masyarakat lebih-lebih lagi jika bayi yang dilahirkan itu mempunyai gene keturunan Aryan.

Penjagaan rapi secara percuma

pusat penjagaan lebensborn

Pada peringkat awal, program Lebensborn ini dicanangkan sebagai program terbaik bagi seseorang wanita sekiranya mereka mahu mempunyai anak secara rahsia. Stigma masyarakat yang memandang rendah pada kelahiran anak tidak sah taraf bagi wanita yang belum berkahwin dan ditambah dengan kemiskinan mendorong golongan wanita ini menyertai program Lebensborn ini.

Dalam program ini, wanita-wanita ini akan diberikan layanan istimewa dan rapi secara percuma. Rumah penjagaan wanita bagi program Lebensborn ini yang pertama telah dibuka pada tahun 1936 di Steinhoring, sebuah bandar kecil berdekatan dengan Munich. Insentif kewangan dan layanan kelas pertama ini merupakan cara termudah untuk mengajak lebih ramai wanita menyertai program ini.

Walau bagaimanapun, tidak semua wanita yang memohon untuk menyertai program ini layak diterima. Hanya kira-kira 40% sahaja wanita yang diterima masuk setelah melalui pelbagai ujian yang ketat. Untuk diterima masuk, salasilah keturunan seseorang wanita tersebut sebanyak 3 generasi akan dikaji untuk memastikan mereka memiliki gene yang hanya dimahukan oleh pihak kerajaan Nazi.

Tindakan lebih agresif untuk melahirkan lebih ramai bangsa Jerman

bayi nazi

Walau bagaimanapun, program ini tidak berjaya melahirkan lebih ramai bangsa Jerman dalam masa yang singkat seperti yang dikehendaki Nazi. Oleh itu, beberapa askar terpilih telah diarahkan untuk ke pusat penjagaan wanita yang menyertai program Lebensborn ini untuk berhubungan dengan mereka. Tujuannnya agar mereka mampu memperoleh anak seterusnya selepas selesai bersalin.

Selain itu, kerajaan juga telah membuat pengumuman rasmi bahawa kerana kekurangan golongan lelaki berbansa Jerman, maka setiap wanita yang berbangsa Jerman tidak boleh beranggapan bahawa mereka bakal mempunyai suami pada masa hadapan. Walau bagaimanapun, kerajaan menyatakan bahawa setiap wanita haruslah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang wanita Jerman dengan melahirkan lebih ramai bayi terutamanya bayi lelaki.

Perubahan kepada undang-undang penceraian di Jerman pada tahun 1938 juga membolehkan lelaki lebih mudah menceraikan isteri mereka apabila isteri mereka sudah berumur hujung 40-an atau 50 tahun ke atas untuk berkahwin dengan wanita baru yang lebih muda.

Hal ini disokong dengan fakta statistik dimana 30,000 kes penceraian telah dilaporkan dalam tempoh 2 tahun selepas undang-undang tersebut digubal dimana 80% adalah kes melibatkan si isteri yang sudah berumur dan tidak mampu melahirkan zuriat. 

Melalui program ini, wanita pada tidak mendapat keadilan yang sepatutnya. Malah, mereka dianggap sebagai kilang melahirkan anak semata-mata dimana wanita yang memiliki ramai anak akan diberi pelbagai pengiktirafan dan insentif.

Kesan program Lebensbron selepas perang

Kisah mengenai program ini telah ditulis dalam sebuah buku oleh penulis Dorothee Schmitz-Koster. Dalam buku tersebut, beliau menyatakan kebanyakan kanak-kanak ini mengetahui akan kisah silam mereka apabila mereka sudah dewasa. Kebanyakannya begitu marah apabila tahu telah ditipu oleh ibu mereka. Malah, kebanyakannya begitu malu apabila mengetahui kisah sebenar kelahiran mereka.

Walau bagaimanapun, terdapat segelintir yang begitu bangga dilahirkan melalui program Lebensborn. Mereka merasakan bahawa mereka merupakan golongan elit dan terpilih.

Selepas perang, kebanyakan wanita yang menyertai program ini terpaksa membesarkan anak mereka secara keseorang tanpa suami. Takut perkara sebenar terbongkar, mereka juga akan memberi tahu kepada anak-anak bahawa bapa mereka telah mati dalam peperangan. Ramai juga yang mengalami masalah psikologi dan mula ketagih alkohol bagi mengatasi tekanan perasaaan.

Kredit:

  1. NY Times
  2. WikiPedia
  3. History Extra
Previous
Next Post »
loading...