PARIS – Wanita berhijab pertama dipilih untuk kempen iklan syampu jenama antarabangsa L’Oreal menarik diri berikutan kicauan anti-Israel menerusi Twitter yang pernah dibuatnya pada 2014.
Amena Khan dari Britain, satu-satunya model Muslim yang bertudung dalam kempen promosi syarikat kosmetik global berpangkalan di Perancis itu dikatakan telah mengutuk kekejaman tentera Israel ke atas rakyat Palestin.
Beliau dengan tegas melalui akaun sosial tersebut memuat catatan yang menyamakan negara haram Yahudi itu sebagai Firaun kerana secara terang dan zalim membunuh kanak-kanak tidak berdosa di wilayah diduduki.
Meskipun budaya liberal Barat sering mempromosikan konon berjuang hak ‘kepelbagaian’ dan ‘kebebasan’, namun kata-kata negatif terhadap Israel masih tidak diterima umum terutama dalam kalangan pemimpin atasan negara.
Amena Khan yang juga pengasas produk hijab Ardere Cosmetics dan penulis video blog YouTube baru-baru ini meluahkan rasa kesal dengan apa berlaku sebelum kemudian menarik diri sebagai duta kempen Loreal tersebut.
“Dengan rasa kesal, saya telah menarik diri daripada menjayakan kempen tersebut kerana kontroversi itu bakal menyimpangkan niat positif (kempen),” jelas beliau seperti yang dilaporkan oleh media antarabangsa semalam.
Difahamkan, ini juga bukan kali pertama kempen pengiklanan L’Oreal untuk mempromosikan kepelbagaian imej wanita terganggu akibat daripada komen kontroversi menerusi akaun media sosial oleh para model terbabit.
Musim panas lalu, L’Oreal menggugurkan model transgender kulit hitam British, Munroe Bergdorf berhubung komen melalui Facebooknya yang menuduh semua orang berkulit putih sebagai terlibat dengan keganasan kaum.
Walaupun pengasas pengeluar kosmetik terbesar dunia itu pada 1909, Eugène Paul Louis Schueller diketahui anti-Yahudi, namun L’Oreal pernah diboikot kerana memperomosikan Israel pada 2014. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
Loading...