loading...

Pembukaan Dream Zone Di MAPS Tangguh Sehingga Mac Depan

IPOH – Pembukaan Dream Zone, taman tema yang memaparkan watak animasi syarikat Dreamworks di Movie Animation Park Studios (MAPS) di sini yang dijadualkan pada pertengahan bulan ini, ditangguhkan sehingga Mac depan.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata ini berikutan terdapat beberapa perkara yang masih perlu ditambah baik termasuk pada aspek teknikal.

“Lawatan teknikal daripada pihak Dreamworks telahpun dibuat… dari segi audit keselamatan dan penjenamaan sudah ‘clear’ dan kita diberi makluman bahawa pada Mac depan, Dream Zone sudah boleh dibuka kepada pengunjung.

“Ini kerana ada beberapa keperluan yang perlu dipenuhi oleh pihak pengurusan, kebanyakannya melibatkan aspek teknikal,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penghargaan Larut British Malaya 2017, di sini, hari ini.

Turut hadir merasmikan majlis berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Sebelum ini, Mohammad Zahir dilaporkan berkata MAPSu dijangka menerima kira-kira sejuta pengunjung pada tahun pertama beroperasi apabila Dream Zone, antara tarikan utama taman tema animasi tersebut dibuka sepenuhnya pada 15 Jan 2018.

MAPS yang dibuka pada 26 Jun 2017 mempunyai lebih 40 tarikan unik dengan enam tema animasi terkemuka dunia termasuk Boboiboy, The Smurfs dan beberapa watak animasi daripada Dreamworks.

Taman tema animasi yang dibina di kawasan seluas 21 hektar itu dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 6 petang pada hari bekerja dan dilanjutkan sehingga 10 malam pada cuti hujung minggu, cuti umum serta cuti sekolah.

MAPS kini menawarkan bayaran masuk promosi RM50 untuk kanak-kanak dan RM60 bagi dewasa sehingga 31 Mac ini. Promosi ini tidak sah pada cuti umum dan cuti sekolah. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...