loading...

KDN Bantu Bekas Banduan Dapatkan Pekerjaan

JOHOR BAHRU — Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang berusaha untuk membantu bekas banduan di negara ini dalam mendapatkan pekerjaan yang stabil demi memberi peluang kedua kepada mereka.

Timbalan Menterinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata langkah itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Penjara bagi memastikan golongan terbabit dapat meneruskan kehidupan yang lebih baik dan tidak kembali terlibat dengan sebarang aktiviti jenayah.

Beliau berkata program parol turut dilaksanakan bagi membolehkan banduan yang berkelakuan baik dibebaskan lebih awal daripada tempoh hukuman penjara mereka.

“Mereka (banduan) yang terlibat dengan program parol terdiri daripada banduan yang terlibat dengan jenayah kecil-kecilan dan bukannya jenayah berat seperti membunuh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung ke-35 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Rahmat di sini, hari ini.

Beliau berkata program parol itu juga bertujuan mengurangkan jumlah banduan dalam penjara di seluruh negara memandangkan sehingga hari ini terdapat kira-kira 50,000 banduan, katanya.

Dalam pada itu, Nur Jazlan berharap para ibu bapa berbincang dengan guru jika terdapat isu berbangkit berkaitan anak mereka berikutan terdapat peningkatan kes ibu bapa membuat laporan polis atau mengambil tindakan undang-undang terhadap guru.

“Kebanyakan aduan atau laporan yang dibuat berkaitan hal-hal kecil seperti guru mendenda anak mereka. Pada saya, ia tidak wajar dan membuang masa anggota kita (polis) untuk membuka kertas siasatan,” katanya.

Katanya sebarang masalah boleh diselesaikan tanpa melibatkan pihak ketiga seperti polis dan peguam jika dibincangkan secara baik. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...