Oleh: Wan Nasrah Abdul Rahim
KUALA LUMPUR – Konsert 3 Kejora Bersatu yang menggabungkan antara tiga pelopor kumpulan nasyid di Malaysia bakal gegarkan Istana budaya Oktober ini.
Menurut Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, pihaknya mengadakan penganjuran konsert islamik di pentas berprestij Istana Budaya itu bertujuan untuk mengembalikan kegemilangan dan kebangkitan lagu nasyid kontemporari sekitar tahun 1996 yang pernah mencetuskan fenomena luarbiasa.
“Ia bakal melakar sejarah kerana julung kalinya bakal diadakan dengan menggabungkan 3 buah kumpulan nasyid ini. Selama ini program islamik hanya menampilkan artis solo.
“Ini adalah kali pertama kita (Istana Budaya) membawa kumpulan nasyid mengadakan konsertnya di Istana Budaya,”katanya.
Sementara itu, Pengarah Kay Event Management & Service, selaku penerbit menggalas tanggungjawab dengan membawa kumpulan perintis nasyid bersatu dalam sebuah konsert.
“Selama 20 tahun artis nasyid berada di Malaysia, bila dapt buat ‘comeback’ kita janjikan satu kelainan. Ia bukanlah untuk merubah konsep atau imej artis itu, tetapi daripada segi susunan muzik itu yang mana peminat yang hadir di Istana budaya itu nanti,”katanya.
Terdahulu, konsert ini menjanjikan sentuhan muzik yang digubah menyimpang dari stigma umum dengan gabungan pemuzik profesional dan iringan string ensemble. Himpunan lagu malar segar dan terkini bakal mewarnai spektrum suara mereka.
Konsert tersebut turut menampilkan kumpulan acapella Colour of Voices yang pernah diviralkan bakal menjanjikan sesuatu yang menarik dan nostalgik. -SuaraTV