Oleh: Saiful Izzuwan Mohammad
ALOR SETAR – Ketua Pemuda UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mengesa Majlis Tertinggi memecat Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai ahli UMNO dengan segera tanpa membuat sebarang penangguhan.
Menurut beliau, tindakan ini perlu diambil walaupun akan wujud implikasi dari tindakan tersebut kerana Pemuda tidak boleh menerima pengkhianat dalam parti ekoran daripada tindakannya bersekongkol dengan pihak pembangkang.
“Pimpinan parti perlu pecat dengan segera tanpa perlu buat sebarang penangguhan kerana setiap tindakan ada implikasi dia, kita kena hadapi lah kerana kita tidak boleh terima pengkhianat dalam parti.
“Apa yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir sebelum ini yang dalam pernyataan beliau, menggesa rakyat tidak mengundi Barisan Nasional di Sungai Besar adalah satu pengkhianatan terbesar dalam sejarah kepimpinan dan pemuda Negeri Kedah cabar Muhyiddin dan Mukhriz ulang pendirian yang serupa di mana-mana ceramah atau di mana-mana kenyataan,” katanya ketika di temui media selepas Majlis Pelancaran buku Amanat 100 hari Pentadibiran Menteri Besar Kedah Darul Aman.
Dalam pada itu, beliau turut mencabar Mukhriz agar bertanding dalam pilihanraya yang akan datang bagi membuktikan dakwaannya bahawa beliau mempunyai penyokong yang ramai khususnya dari golongan belia.
“Rakyat sokong dia dulu sebab sokong Barisan Nasional, saya cabar dia keluar parti, jadi calon bebas tengok dia boleh menang atau kalah, itu baru kita dapat ukur dia dapat sokongan rakyat.
“Saya cabar dia, keluar parti, tubuh parti baru atau bertanding sebagai calon bebas di Jerlun kita tengok rakyat sokong dia atau tidak,” ujarnya.
Terdahulu, Datuk Seri Mukhriz telah meletak jawatan selaku Menteri Besar setelah majoriti ADUN melakukan undi tidak percaya terhadap beliau. -SuaraTV