KUALA LUMPUR – Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan kepada Pakatan Harapan bahawa partinya tidak akan berundur dari desakan untuk menarik diri dari bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar.
Kenyataan Hadi sekaligus memberi amaran kepada Pakatan Harapan untuk menyaksikan pertembungan satu lawan satu pada kedua-dua PRK tersebut antara satu parti pembangkang dan Barisan Nasional (BN).
“PAS melihat tiada masalah samada ianya satu lawan satu, tiga penjuru ataupun perlawanan empat penjuru. Kami tetap akan bertanding,” katanya.
Ujar Ahli Parlimen Marang itu, beliau terkejut Pakatan Harapan mahu membuat perundingan mengenai pembahagian antara kedua-dua kerusi tersebut ekoran PAS berpendapat pelawaan pakatan tersebut adalah untuk melakukan strategi kempen menentang BN.
“Kami tidak menjangka (Pakatan Harapan) minta untuk bertanding.
“Permintaan dari pihak lain adalah tidak wajar. Lebih-lebih lagi apabila kita mengetahui permintaan dari Pakatan Harapan,” ujar Hadi.
Tambah Presiden PAS itu, partinya lebih berpotensi untuk menang pada PRK kali ini ekoran PAS hanya kalah tipis pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lepas.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali sebelum ini menyatakan beliau optimis akan mencapai kata putus dalam perbincangan bersama Hadi dalam berdepan dua PRK 18 Jun ini.
Kata Azmin, beliau akan berunding dengan Hadi untuk memberi laluan kepada PKR bertanding di Sungai Besar dan akan memberi laluan kepada PAS bertanding di Kuala Kangsar demi mengelakkan pertembungan tiga penjuru yang akan menyebabkan kekalahan kepada pembangkang.
Namun, kenyataan Hadi kali ini menyangkal hasrat Azmin sekaligus PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara PAS, Pakatan Harapan dan BN. – Malaysian Digest