loading...

Perang Poster Meriahkan Suasana Empat Kerusi Di Sibu

SIBU – Poster sememangnya menjadi kelaziman sewaktu pilihan raya. Di Sibu, perang poster melibatkan  kesemua Dewan Undangan Negeri sama ada terletak di Parlimen Lanang atau Parlimen Sibu.

 

Namun , pada pilihan raya kali ini, perang poster dilihat banyak berada di dalam kawasan DUN Pelawan dan DUN Nangka bagi Parlimen Sibu dan DUN Bukit Assek bagi Parlimen Lanang.

 

Poster, kain rentang dan papan iklan yang dipasang di sepanjang jalan  dan di lokasi strategik, termasuk di kampung-kampung dan rumah panjang, menghiasi dan memeriahkan suasana sehingga kedapatan seperti pesta.

 

Manakala, poster untuk calon di DUN Bawang Assan , dan DUN Dudong  kurang dilihat semasa permulaan kempen.

 

Kedua-dua DUN yang ditandingi calon langsung, iaitu Datuk Seri Wong Soon Koh dan Datuk Tiong Thai King  didapati mempunyai agenda dan mesej tersendiri dalam menyampaikan mesej dan manifesto mereka kepada pengundi.

 

Calon -calon bagi DUN Bawang Assan, Dudong dilihat menggunakan  pendekatan walkabout, calon bagi DUN Bukit Assek pula menggunakan kesemua cara, iaitu ceramah, poster dan walkabout dalam menyampaikan mesej.

 

Calon yang bertanding di DUN Pelawan memfokuskan kawasan majoriti Cina dalam menagih undi mereka khususnya calon dari BN.

 

Hal ini sejajar dengan kawasan Pelawan yang didominasi  kaum Cina sebanyak 90 peratus.

 

Calon BN dilihat berusaha dalam merampas semula kerusi Pelawan daripada DAP.

 

Datuk Janet Lau berkata kepada pengundi-pengundi di DUN Pelawan supaya mengundi beliau bagi membolehkan beliau untuk menyambung tugas suaminya, mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew, bekas Ahli Parlimen Sibu dan bekas timbalan menteri Pengangkutan.

 

Calon BN di DUN Nangka, Dr Annuar Rapaee telah melancarkan perang poster terhadap lawannya iaitu Abdul Rafiidin Majidi (PKR) selepas penamaan calon 25 April . Poster-poster daripada kedua-dua calon dan parti diwakili mereka menakluki hampir kesemua kawasan di Sibu.

 

Dengan Nangka pasti dimenangi BN dan Bukit Assek dimenangi DAP, persoalan besar pengundi adalah, siapakah bakal disokong pengundi Cina di Bawang Assan, Dudong dan Pelawan? – SarawakVoice

Previous
Next Post »
loading...