RIO DE JANEIRO – Hakim mengarahkan perkhidmatan mesej popular, WhatsApp, dihentikan selama 72 jam di seluruh Brazil di tengah-tengah perbalahan undang-undang berhubung maklumat pengguna.
Anggaran 100 juta pengguna aplikasi itu di Brazil tiba-tiba mendapati mereka tidak boleh menghantar atau menerima mesej awal tengah hari apabila hakim di negeri Sergipe, Marcel Maia Montalvo, mengarahkan penggantungan itu.
Ia menjadi siri terbaru dalam perbalahan antara penguat kuasaan undang-undang Brazil dan Facebook, yang membeli WhatsApp pada 2014.
Mac lalu, wakil paling kanan Facebook di Amerika Latin itu ditahan semalaman di Sao Paolo.
Pegawai menuduh syarikat berkenaan berulang kali gagal memberikan maklumat mengenai pengguna aplikasi itu untuk siasatan mengenai penyeludupan dadah dan jenayah terancang.
Ketika itu, jurucakap polis persekutuan di Sergipe, Monica Horta, berkata penyiasat meminta kandungan kumpulan mesej Whatsapp selain data lain, termasuk lokasi.
Penyiasat mula menghubungi WhatsApp beberapa bulan sebelum ini tetapi tidak mendapat sebarang reaksi, kata Horta.
Dalam kenyataan dalam media Brazil, WhatsApp meluahkan kekecewaan dengan keputusan hakim itu, menyatakan ia menghukum lebih 100 juta rakyat negara berkenaan yang bergantung kepada perkhidmatan itu.
Pihak berkuasa Brazil juga pernah berbalah dengan Facebook pada Disember lalu apabila hakim mengarahkan telekom menyekat WhatsApp selama 12 jam berhubung dakwaan ia enggan bekerjasama dengan siasatan polis.
Ketika itu, Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg, berkata beliau terperanjat dengan keputusan melampau itu. – AP