loading...

SPRM Tahan Timbalan Pengetua MRSM & 2 Lagi Individu

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang timbalan pengetua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Bharu, Selangor bagi membantu siasatan berhubung pemberian kerja pembekalan barang keperluan pelajar kepada pihak berkepentingan.

Sumber SPRM berkata timbalan pengetua terbabit ditahan selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

Turut ditahan ialah anak suspek yang berusia 24 tahun dan seorang pemilik syarikat berusia 40 tahun, juga selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor. Ketiga-tiga mereka ditahan antara 4.30 petang dan 7 malam tadi.

“Timbalan pengetua wanita yang berusia 48 tahun itu dipercayai telah menyalahgunakan kuasanya dengan memberikan kerja-kerja pembekalan barang keperluan pelajar yang bernilai lebih kurang RM79,000 secara rundingan terus,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sumber itu berkata suspek yang juga timbalan pengetua kokurikulum MRSM berkenaan dikesan melakukan perbuatan tanpa mengikut prosedur ditetapkan tersebut antara 2016 dan 2017.

“Dia dikesan memberikan kerja-kerja pembekalan itu kepada anaknya melalui sebuah syarikat yang dimiliki rakan anaknya itu.

“SPRM kini menahan ketiga-tiga mereka mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit dan berkata ketiga-tiga suspek akan direman esok.

Beliau berkata pasukan penyiasat mula menjalankan siasatan kes itu selepas memperoleh maklumat daripada orang ramai berhubung penyalahgunaan kuasa oleh timbalan pengetua terbabit.

“Pasukan penyiasat kini dalam proses merakam percakapan saksi-saksi bagi mendapatkan maklumat-maklumat yang dipercayai dapat membantu siasatan kes ini,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...