BANGKOK – Pengerusi Suruhanjaya Anti Rasuah Negara (NACC) Thailand membuat keputusan menarik diri daripada siasatan berprofil tinggi agensi itu berhubung dakwaan pemilikan jam tangan mewah oleh Timbalan Perdana Menteri Jen Prawit Wongsuwan.
Penarikan diri Jen Watcharapol Prasarnrajkit daripada siasatan itu diumumkan dalam sidang media oleh Setiausaha Agung NACC Worawit Sukboon.
Beliau berkata Prasarnrajkit memaklumkan keputusannya untuk menarik diri daripada siasatan itu semasa mesyuarat NACC semalam.
Pengerusi NACC itu yang rapat dengan Prawit dan pernah berkhidmat di bawahnya sebelum ini, mendapat tekanan hebat daripada masyarakat yang mahu beliau menarik diri daripada siasatan itu bagi memastikan ketelusan dan siasatan yang tidak berat sebelah.
Sebagai sebahagian daripada siasatan berkaitan jam tangan itu yang Worawit jangka akan siap bulan depan, NACC, kata beliau, telah meminta timbalan perdana menteri supaya mengemukakan lebih banyak maklumat berkaitan 25 utas jam tangan mewah yang menjadi persoalan itu.
Beliau mengambil maklum bahawa Prawit telah memberi maklumat berkaitan jam tangan itu tetapi NACC kini mahu beliau mengemukakan “penjelasan tambahan”.
Badan anti rasuah itu, katanya, turut menetapkan janji temu untuk menyoal pihak yang didakwa Prawit meminjamkan jam tangan mewah itu kepadanya.
“NACC turut menghantar surat kepada 13 syarikat jam tangan untuk meminta mereka memberi maklumat tentang jam tangan yang dipakai Prawit,” katanya.
Timbalan perdana menteri mendakwa jam tangan mewah dipakainya yang membangkitkan persoalan, adalah kepunyaan rakan dan dipinjamkan kepadanya.
Prawit turut menawarkan diri untuk melepaskan jawatannya dalam kerajaan jika siasatan NACC mendapatinya bersalah. – BERNAMA
Loading...