loading...

Pemandu Lori Dihukum Mati Edar Lebih 45 Kg Dadah

KUALA LUMPUR — Seorang pemandu lori dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar lebih 45 kilogram dadah, dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samah menjatuhi hukuman itu ke atas S. Gopi Kumar, 33, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pembelaan.

Mohamad Shariff berkata mahkamah mendapati tertuduh mempunyai kawalan, pemilikan dan pengetahuan terhadap dadah yang ditemui dalam sebuah kenderaan jenis Proton Perdana miliknya dan di dalam rumah yang disewanya sejak 2015.

“Oleh itu, saya mendapati tertuduh bersalah dan dihukum gantung sampai mati bagi pertuduhan pertama dan kedua iaitu mengedar dadah dan menjatihui hukuman penjara empat tahun dan lima sebatan bagi pertuduhan ketiga memiliki dadah,” katanya.

Bagi kesalahan memiliki dadah, Mohamad Sharif memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 22 Jun 2016.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 45,290 gram, heroin seberat 18.4 gram dan monoacetylmorphine seberat 2.25 gram.

Dia melakukan perbuatan itu dalam kereta Proton Perdana di tepi jalan 10/18A Taman Mastiara, Batu 5, Jalan Ipoh, Sentul di sini pada 12.45 tengah malam, 22 Jun 2016 dan dalam sebuah rumah di Jalan 15/18A taman sama pada jam 1.45 pagi tarikh serupa.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 16.2 gram di dalam rumah sama pada waktu dan tarikh serupa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat sehingga sembilan sebatan.

Peguam New Sin Yew yang mewakili tertuduh merayu supaya mahkamah menjatuhkan hukuman ringan ke atas anak guamnya kerana isterinya tidak bekerja dan mempunyai anak berusia tiga tahun dan ibunya berusia 60 tahun akan kehilangan tempat bergantung.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli memohon hukuman setimpal bagi mencerminkan keseriusan mahkamah menangani kes dadah di negara ini selain mengambil kira tertuduh terlibat dalam pengedaran dan pemilikan empat jenis dadah. – BERNAMA



Loading...

Previous
Next Post »
loading...