loading...

Malaysia Tak Rela Jadi Pasukan Belasahan

SERDANG – Skuad ragbi tujuh sepasukan kebangsaan berazam mempamerkan persembahan terpuji pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, April ini, walaupun bakal bersaing dengan pasukan terbaik dunia.

Ketua jurulatih, Mohd Saizul Hafifi Md Noor berkata pasukannya perlu menggunakan peluang beraksi di Sukan Komanwel sebagai medan meraih pengalaman serta persiapan dalam misi memburu kilauan pingat pada Sukan Asia, September depan.

“Beraksi pada tahap terbaik di Sukan Komanwel sangat mustahak kerana bagi saya ia akan menentukan tahap prestasi pasukan di Sukan Asia 2018. Jika kita bermain dengan baik di Sukan Komanwel, momentum positif tersebut dapat dibawa untuk beraksi lebih baik di Sukan Asia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi lawatan ketua kontinjen, Huang Ying How ke kem latihan skuad ragbi tujuh sepasukan negara di Padang A Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohd Saizul mengakui barisan pasukan terbaik dunia yang bertanding di Sukan Komanwel memberi sedikit impak negatif terhadap tahap psikologi anak buahnya, namun menegaskan ia dapat diatasi menerusi beberapa program pemantapan yang sudah dirancang menjelang Sukan Komanwel.

“Memang apabila bercakap soal Sukan Komanwel, kebanyakan negara bertanding merupakan jaguh dalam sukan ini. Jadi apa yang saya lihat pada ketika ini, mereka (pemain) kelihatan gugup tetapi saya yakin ia dapat diatasi selepas mereka menyertai program-program yang sudah kami aturkan.

“Sebagai jurulatih, saya tidak rela melihat Malaysia menjadi pasukan belasahan. Sekiranya kita tewas, saya mahu jurang mata itu tidak terlalu besar dan jika berjaya mendapat satu atau dua kemenangan ia sudah cukup bermakna bagi pasukan kita,” katanya.

Skuad negara yang kini dalam fasa pemilihan pemain akan ke Sydney, Australia bulan depan bagi menyertai dua kejohanan tempatan di sana, sebelum bertanding di Kejohanan Ragbi Borne Tujuh Sebelah pada Mac.

Hanya 12 daripada 19 pemain yang kini berada dalam fasa pemilihan akan dipilih bagi membawa cabaran negara pada Sukan Komanwel.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik negara adalah menduduki tempat ke-11 pada edisi 1998 di Kuala Lumpur. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...