BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang menumpaskan sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi membabitkan nilai rampasan sebanyak RM166,454 di sebuah stor di Nibong Tebal, dekat sini malam tadi.
Pengarah KPDNKK Pulau Pinang Mohd Ridzuan Abdul Ghafar berkata bertindak hasil risikan dan intipan yang dijalankan sejak seminggu lepas, pihaknya menyerbu gudang itu kira-kira pukul 11.30 malam dan merampas 430 tong LPG pelbagai jenis.
“Hasil risikan kami mendapati sindiket itu menjadikan gudang tersebut sebagai tempat penyimpanan gas LPG yang didaftarkan oleh sebuah syarikat untuk mereka menjalankan aktiviti pemindahan gas secara haram daripada silinder subsidi iaitu tong LPG 12 kilogram (kg) dan 14kg kepada silinder 50kg.
“Sebanyak 143 unit tong LPG 50kg membabitkan 75 unit yang mengandungi gas manakala selebihnya kosong serta 287 unit tong LPG 12kg dan 14kg berisi LPG serta tiga buah lori dirampas dalam serbuan berkenaan. Semuanya bernilai RM166,454,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya pihaknya turut merampas sebanyak 21 salur hos gas diubah suai yang digunakan sindiket itu untuk memindahkan LPG berkenaan daripada tong subsidi kepada tong industri.
Mohd Ridzuan berkata semasa serbuan itu, terdapat seorang pemandu lori yang baru tiba di stor berkenaan dipercayai untuk mengambil tong-tong LPG industri untuk dihantar kepada pembeli dan pihaknya telah merekodkan keterangan lelaki berusia 40-an tersebut bagi membantu siasatan.
“Ketika serbuan itu juga, kami mendapati gas LPG daripada sebahagian unit tong subsidi berkenaan sedang dipindahkan kepada tong industri menggunakan salur hos gas diubah suai itu. Cara tersebut sangat berbahaya malah boleh menyebabkan kebakaran serta letupan di gudang berkenaan,” katanya.
Katanya modus operandi sindiket itu adalah dengan mengambil bekalan LPG daripada mana-mana sumber dan memindahkan ke silinder industri sebelum dipasarkan kepada industri di sekitar Pulau Pinang serta Perak.
Beliau berkata sindiket itu mampu mengaut keuntungan sehingga RM50 bagi setiap tong gas industri yang mereka jual dan pihaknya kini sedang mengesan pemilik syarikat yang menjadikan stor itu tempat penyimpanan gas LPG berkenaan untuk siasatan lanjut.
“Berdasarkan siasatan awal juga, kami tidak menolak kemungkinan sindiket itu menjadikan gudang berkenaan untuk menjalankan kegiatan memindahkan gas LPG tersebut beberapa bulan lepas dan mereka juga berpindah-randah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya. – BERNAMA
Loading...