BILA ibu-ibu buat senarai barang bayi yang hendak dibeli, bedak mesti akan termasuk dalam senarai. Bila dipakaikan pada bayi terutama selepas mandi, terasa segar dan wangi sahaja.
Memakaikan anak bedak seolah-olah menjadi petunjuk yang si kecil baru sudah mandi.
“Eh, busuklah baby kalau kita tak pakaikan dia bedak. Tak macam bau baby nanti!” Kebanyakan ibu memang akan membedakkan anak mereka kerana suka dengan baunya yang wangi.
Kadang kala ada ibu yang suka memakaikan bedak pada bahagian punggung dan alat sulit anak setiap kali menukar lampin mereka. Bahkan ada ibu suka membiarkan anak bermain dengan bedak sehingga habis satu badan dilumuri bedak tabur. Rasa macam comel tengok anak buat gelagat itu.
Beware mothers! Sebenarnya tanpa kita sedari, perbuatan tersebut memberi kesan bahaya kepada si manja.
Kandungan utama bedak bayi adalah talc, iaitu mineral yang di dalamnya mengandungi silika magnesium yang sudah terhidrasi. Apabila partikel mineral dari talc ditaburkan pada permukaan badan, ada yang mengewap dan ada yang terserap. Bahagian yang terserap itu yang berbahaya hingga boleh meningkatkan risiko berikut.
1. Punca pneumonia
Bila terlalu banyak menghidu bedak, ia boleh masuk ke dalam paru-paru bayi. Debu bedak tersebut akhirnya berkumpul di dalam paru-paru bayi dan lama-kelamaan akan menjadi pneumonia.
2. Kesukaran bernafas
Ada segelintir bayi pernah menghadapi masalah sukar bernafas tanpa sebab hingga terpaksa di bawa ke hospital. Setelah diperiksa, laporan perubatan mendapati kesukaran tersebut berpunca akibat terlalu banyak terdedah pada bedak bayi.
Partikel keras di dalam bedak masuk ke dalam paru-paru dan menghalang sistem pernafasan bayi hingga menyebabkan oksigen tidak cukup sampai ke paru-paru.
3. Risiko kanser ovari
Menurut kajian yang dilakukan oleh American Academy of Pediatrics, kekerapan menyapu bedak pada kawasan kemaluan bayi, berkemungkinan meningkatkan risiko terkena kanser ovari.
4. Risiko jangkitan bakteria
Kekerapan menyapu bedak bayi pada sekitar kemaluan atau vagina (bagi bayi perempuan) juga akan mendedahkan mereka kepada jangkitan bakteria. Debu dari taburan bedak mampu sampai ke organ genital yang lebih dalam dari kawasan kemaluan.
Semakin banyak ia berkumpul di kawasan tersebut sehingga menimbulkan jangkitan bakteria kepada anak.
Bukan bermaksud ibu tidak boleh langsung memakaikan bayi bedak tetapi perlu tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.
* Elakkan taburan bedak pada kawasan muka bayi.
* Jangan tabur bedak di sekitar kemaluan bayi.
* Jangan tabur terus bedak ke anggota badan bayi. Sebaiknya tuang di tapak tangan anda, kemudian baru disapu secara rata ke badannya.
* Pilih bedak yang dibuat daripada tepung jagung.-VVWANITA.MY
Loading...