SHAH ALAM – Pengerusi Gabungan NGO Melayu, Datuk Seri Jamal Md Yunos menafikan beliau mengejar populariti, sebaliknya apa yang dilakukan selama ini adalah berdasarkan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya oleh ahli Umno dan rakan NGO.
Menurutnya, beliau tidak kisah menjadi bahan kecaman netizen, malah kutukan netizen selama ini menjadi inspirasi buatnya untuk menjadi yang lebih baik.
“Bagi saya, mereka boleh katakan apa sahaja. Tapi tidak pernah dalam jiwa dan hati nurani saya untuk popularkan diri sendiri.
“Apa yang saya lakukan mungkin berbeza dengan rakan lain kerana saya fikir apa yang kita lakukan itu perlulah sampai sasarannya,” katanya kepada Sinar Online.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mengharapkan Jamal untuk memberikan kerjasama kepada polis dalam menangani jenayah sekali gus tidak mengambil tindakan sendiri bagi meraih populariti dirinya.
Kelmarin, katanya lagi, tindakan pemilik Sekin Fishermen Village Hotel & Resort yang ‘menyerbu’ pusat judi haram, baru-baru ini, dibimbangi akan menjadi ikutan masyarakat sehingga boleh menimbulkan keadaan luar kawalan.-Sinar
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW