SAMARAHAN – Pertembungan dan perebutan kerusi DUN antara calon PKR dan DAP dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 (PRN-11) berlaku kerana faktor kelemahan pembangkang itu sendiri, kata Dato’ Idris Buang.
Beliau yang mewakili BN bagi kerusi N.16 DUN Muara Tuang berkata alasan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali yang mengaitkan permintaan rakyat setempat sebagai punca pertembungan itu berlaku juga mengarut.
“Sebenarnya itu kelemahan PKR dan DAP kerana tidak boleh bekerjasama. Mereka cuba mengalih isu dan pandangan rakyat diatas kelemahan mereka sendiri.
“Inilah hasilnya jika mereka perintah. Rakyat nak tengok sarkas atau “Boxing”, ataupun rakyat nak tengok BN terus memajukan dan mensejahterakan rakyat dan negeri Sarawak,” katanya selepas menyertai majlis “Berambeh Bersama Anak Muda” di Kampung Merang Baru malam semalam.
Dalam PRN-11 ini PKR dan DAP saling bertembung sesama mereka di enam kerusi DUN selepas masing-masing gagal memuktamadkan rundingan pembahagian kerusi sebelum hari penamaan calon.
Sementara itu, menjawab isu tanah yang dibangkitkan calon Parti Amanah Negara PAN), Abang Abdul Halil di Muara Tuang, beliau menjelaskan isu berkenaan sudah lapuk kerana banyak geran pemilikan tanah telah selesai diuruskan dan selebihnya dalam proses penyukatan.
Mengulas peluangnya dalam menghadapi saingan tiga penjuru melibatkan calon PAN dan PAS di Muara Tuang, Idris menyatakan keyakinannya untuk mempertahankan kemenangan BN di DUN berkenaan.
“Saya rasa kita boleh menang selesa InsyaAllah, dengan sokongan sebegini ditempat Iban, apatah lagi kaum lain, Melayu, Cina dan tempat lain, mereka bersatu padu dengan Barisan Nasional (BN).
“Komponen BN bekerjasama dengan baik sebab mereka tahu, Tok Nan (Tan Sri Adenan Satem)adalah pemangkin kejayaan untuk lima tahun akan datang,” ujarnya.
Pada PRN-10 tahun 2011, BN melalui calonnya, Datuk Seri Mohamad Ali Mahmud mempertahankan kemenangan di situ mengalahkan calon PAS, Noraini Binti Hamzah, dengan majoriti 7,843 undi. – SuaraTV