TASEK GELUGOR – Polis menembak mati seorang lelaki dipercayai pengedar dadah dalam kejadian berbalas tembakan di kawasan Ara Kuda di sini.
Dalam kejadian jam 4.15 petang itu, sepasukan polis bertindak mengekori sebuah kereta mencurigakan yang dipandu suspek berusia lingkungan 30-an.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Azmi Adam, berkata polis mengekori kenderaan berkenaan sejauh kira-kira lima kilometer sebelum meminta suspek memberhentikan kenderaannya.
Beliau berkata, bagaimanapun suspek bertindak melepaskan beberapa das tembakan dan terkena kereta polis.
“Suspek melepaskan beberapa tembakan dan dua daripadanya mengenai kereta yang dipandu anggota polis.
“Polis kemudian membalas tembakan dan mengenai badan lelaki itu, menyebabkan suspek mati di lokasi kejadian,” katanya.
Azmi berkata, pemeriksaan polis terhadap kereta suspek menemui sepucuk pistol, 40 gram dadah jenis heroin dan tiga gram syabu.
Mayat suspek dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat. – AntaraPos