KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak menerima kunjungan hormat Duta Khas Presiden China, Meng Jianzhu dan rombongannya di pejabat Perdana Menteri dekat Bangunan Parlimen di sini, semalam.
Najib meluangkan masa kira-kira 20 minit mengadakan pertemuan dengan Jianzhu, yang juga anggota jawatan kuasa pusat Biro Politik Parti Komunis China.
Turut serta dalam rombongan itu ialah Setiausaha Agung Jawatankuasa Politik dan Perundangan China, Wang Yongqing, Duta China ke Malaysia Dr. Huang Huikang dan Timbalan Menteri Keselamatan Kebangsaan China, Dong Haizhou.
Sementara itu, Duta Khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting berkata, pertemuan itu antara lain membincangkan mengenai kerjasama Malaysia dan China dalam bidang ekonomi, keselamatan dan pelancongan.
“Pucuk pimpinan China menghargai kerjasama kita dalam memulihkan kedatangan pelancong China ke Malaysia, mereka amat hargai program e-visa (visa elektronik) yang kita laksanakan.
“Kedua-dua negara berharap melalui program itu, kedatangan pelancong China dapat dipulihkan sehingga ke tahap sebelum tragedi MH370 berlaku,” katanya yang turut menghadiri pertemuan itu.
Beliau berkata, kerajaan China juga memberi jaminan bahawa hubungan ekonomi yang terjalin di antara kedua-dua negara akan terus diperkukuh melalui pelaburan yang dibawa oleh negara berkenaan ke Malaysia.
“Kerajaan China akan terus mengalakkan pelaburan besar yang akan membawa faedah dan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia… kita amat menghargai perkara berkenaan,” katanya. – BERNAMA