loading...

PKR Senarai Tiga Calon Untuk PRK Sungai Besar

PKR telah menyenarai pendek tiga calon berpotensi untuk Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dengan Naib Presidennya, Dr. Shaharuddin Badaruddin dilihat paling berpeluang bertanding.

 

Dua calon yang lain juga bukan calang-calang orangnya iaitu bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

 

Sumber memberitahu China Press, Shaharuddin bagaimanapun mempunyai peluang kemenangan lebih tinggi kerana beliau adalah berasal dari Tanjung Karang yang berhampiran dengan Sungai Besar.

 

Shaharuddin juga merupakan Orang Jawa dan memiliki kelayakan akademik sebagai pensyarah di Universiti Selangor (Unisel).

 

Sumber menganalisis, memandangkan Sungai Besar merupakan kubu UMNO dan mempunyai peratusan pengundi Melayu yang mencecah 67 peratus, maka PKR harus menghantar wakil yang mempunyai ‘latar belakang’ UMNO untuk bertanding.

 

Cara itu perlu digunakan untuk menawan hati penyokong-penyokong tegar UMNO.

 

Dalam Pilihan Raya Umum lalu, calon Pas kecundang tetapi dianggarkan berjaya mendapat 75 peratus undi Cina dan 39 peratus undi Melayu.

 

“PKR berasa yakin untuk mendapat sokongan pengundi Cina kerana DAP akan membantu dalam kempen pilihan raya, tetapi PKR perlu lebih berusaha dalam kawasan Melayu.

 

“PKR perlu memperoleh sekurang-kurangnya 45 peratus undi Melayu untuk memenangi Sungai Besar,” kata sumber.

 

PKR dilaporkan sudah berniat menukar Sabak Bernam yang ditandinginya dengan Sungai Besar yang ditandingi Pas seawal pilihan raya umum lalu, tetapi tidak sempat berbuat demikian.

 

Mengulas mengenai kemungkinan Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi calon di Sungai Besar, sumber berkata, rancangan itu tidak kesampaian selepas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan mengenai bekas Perdana Menteri tersebut.

 

Katanya, pihak DAP juga tidak bersetuju supaya Dr. Mahathir bertanding di Sungai Besar, tetapi mahu menjadikan beliau sebagai ‘perai undi luar biasa’. – MalaysiaGazette

Previous
Next Post »
loading...