KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ‘melenting’ apabila beberapa pengikut laman Instagram, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan, menyindir dan menganggapnya memakai baju batik Indonesia.
Menurut Khairy, baju batik tersebut bukan daripada Indonesia dan beliau hanya memakai batik Malaysia sebagai galakan pemakaian batik pada hari khamis demi mempromosikan batik Malaysia.
“Saya hanya memakai batik Malaysia sahaja. Termasuklah baju ini yang saya pakai adalah batik Malaysia. Bukan batik Indonesia,”katanya.
Sehubungan itu, Khairy yang menyifatkan kapsyen Instagram daripada Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) itu sebagai gurauan sebaliknya tidak dapat menerima tanggapan keterlaluan daripada pengikut Instagram tersebut.
“Saya tak kisah Rahman Dahlan bergurau dengan saya (kapsyen : It’s not Thursday, so what’s with the batik dude?#ConfirmTakTahuPekelilingRasmiKerajaan), sebab dia kawan saya, tapi izinkan saya betulkan tanggapan saudara.
“Gurauan sahabat saya boleh terima, tetapi tanggapan yang salah yang dibuat tanpa usul periksa dan ilmu mengenai batik, saya tak boleh terima,”ujarnya.
Bagaimanapun, selepas menerima jawapan daripada Khairy, pengikut Instagram tersebut mengakui kesilapannya sekali gus memuji baju yang didakwa sebagai ‘Batik Indon’ yang dipakai Khairy menerusi gambar yang dimuat naik di laman Instagram tersebut.
Terdahulu, kapsyen Abdul Rahman mengenai pemakaian batik pada hari khamis itu mendapat perhatian pengikut Instagramnya dan beberapa daripada pengikutnya menyindir Ahli Parlimen Rembau tersebut.-SuaraTV