loading...

D’Herbs Taja RM30j, Tapi Mahu Tanah RM80j, Kata KFA

ALOR SETAR — Permintaan tanah seluas kira-kira 60 hektar di Jabi, dekat Pokok Sena yang dianggar bernilai lebih RM80 juta antara punca penolakan tajaan D’Herbs Holdings (M) Sdn Bhd, dedah Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

 

Naib Presiden KFA Datuk Badrol Hisham Hashim juga mendedahkan beberapa syarat lagi yang menyebabkan penajaan syarikat Datuk Aliff Syukri Kamarzaman terpaksa ditolak, selain permintaan tanah tersebut.

 

“Daripada 49 syarat terbabit, sekurang-kurangnya lima syarat dilihat terlalu sukar untuk dipenuhi oleh KFA. Selain tanah, D’Herbs mahukan hak ke atas papan iklan di setiap daerah di Kedah dengan hak penyiaran iklan diuruskan syarikat milik D’Herbs.

 

“Ada juga beberapa permintaan berkaitan iklan D’Herbs di Stadium Darul Aman termasuk menempatkan patung tertentu berkaitan iklan syarikat itu. Ada satu dua lagi syarat yang saya tak ingat.

 

“Apa pun semua syarat ini dilihat mengikat KFA sehingga keputusan menolak tajaan dibuat,” katanya kepada Berita Harian.

 

Aliff, 29, telah mengadakan sidang media petang semalam bagi mengulas penolakan tajaan RM30 juta oleh KFA.

 

Berita Berkaitan;-

Abang Terlajak Laris Nafi Tuntut Tanah Percuma Di Kedah

 

Jutawan kosmetik sebelum ini berkata keputusan KFA tidak adil kerana tidak menghubunginya terlebih dahulu sebelum mengumumkannya kepada media.

 

Bercakap kepada akhbar sama, Badrol berkata walaupun D’Herbs memberikan jumlah tajaan besar, namun situasi menang-menang perlu dicapai kedua-dua belah pihak.

 

“Berdasarkan lima syarat itu, ia membabitkan bidang kuasa pelbagai pihak. Kita ambil contoh tanah yang dipinta, ia milik kerajaan negeri.

 

“Papan iklan pula milik PBT dan stadium milik pengurusan stadium,” katanya, merujuk kepada pihak berkuasa tempatan

 

Setiausaha Kehormat KFA Datuk Aminuddin Omar pula mendedahkan pertambahan syarat sering berlaku setiap kali perbincangan diadakan.

 

Katanya, apa yang dibimbangkan ialah pertambahan itu tidak hanya berlaku di peringkat rundingan malah sepanjang tempoh tiga tahun penajaan berlangsung.

 

“D’Herbs sendiri sudah lama guna platform kita dengan meletakkan iklan mereka tanpa KFA menerima apa-apa daripada mereka.

 

“Kita tidak mahu berlanjutan kerana KFA kena fokus dengan perlawanan dan isu ini boleh jejaskan fokus maka lebih baik kita tarik diri,” beliau dilaporkan berkata. – MalayMail

Previous
Next Post »
loading...