loading...

DAP Tidak Akan Sokong PAS Tanding PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar – Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – DAP tidak akan berbincang dan tidak menyokong Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar, Perak dan Sungai Besar, Selangor.

 

Malah, Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng berkata, pihaknya langsung tidak berbincang dengan parti itu mengenai dua PRK tersebut.

 

“Kami hanya menyokong calon-calon daripada pakatan harapan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.

 

Pengaruh DAP berdasarkan jumlah pengundi Cina dalam ke­dua-dua kawasan itu bukan kecil.

 

Malah, salah satu Dewan Undangan Negeri dalam Sungai Besar iaitu Sekinchan dimenangi oleh DAP sebanyak dua kali pada Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013.

 

Di Sekinchan, terdapat lebih 30 peratus pengundi daripada kaum Cina.

 

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pakatan harapan terpaksa menangguhkan mesyuarat bagi menentukan calon-calon dua PRK semalam kerana masih menunggu maklum balas daripada Pas.

 

Wan Azizah yang juga Pre­siden PKR berkata, hal ini penting bagi mengelakkan pertemuan tiga penjuru di kedua-dua PRK.

 

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberitahu, terdapat ruang untuk PKR dan pakatan harapan berunding dengan Pas bagi menentukan calon di kedua-dua PRK.

 

Katanya, semua pandangan akan dibentangkan dalam Majlis Presiden pakatan harapan.

 

“Saya pasti terdapat ruang untuk rundingan. Setakat ini, saya sudah berjumpa Timbalan Pre­siden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali serta Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar,” ujarnya.

 

Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Abdul Samad pula berkata, pihaknya bersedia menggantikan PKR untuk bertanding di kedua-dua PRK.

 

Menurut Khalid, sukar bagi PKR untuk bertanding menentang Pas pada dua PRK tersebut.

 

“Oleh itu, PAN bersedia untuk mewakili pakatan harapan dalam kedua-dua PRK ini dan berterima kasih kepada DAP Selangor atas sokongan terbuka untuk me­nerima calon PAN di Sungai Besar,” katanya. – Utusan

Previous
Next Post »
loading...