KUALA LUMPUR — Perasaan meluat khalayak terhadap strategi pemasaran kosmetik D’Herbs Holdings (M) Sdn Bhd tidak menggoyah pengasasnya asalkan ada untung.
Datuk Aliff Syukri Kamarzaman tidak begitu mempedulikan kritikan orang ramai kerana beliau lebih mementingkan perkembangan perniagaannya.
“Orang kita hendak tengok dua benda saja iaitu paling hebat dan paling teruk. Orang Malaysia suka lain daripada yang lain, pada mula kemunculan, saya pakai baju kilat-kilat walaupun orang kata saya gila, saya tidak ada masalah.
“Orang boleh mengata dan mengutuk, yang penting poket saya tebal. Ini perancangan pemasaran, saya tidak boleh tutup mulut orang kerana yang penting orang tahu mengenai saya dan perkembangan saya.
“Saya tidak perlu kisah apa orang cakap tapi saya perlu kisah macam mana pendapatan saya,” katanya dalam satu wawancara bersama Harian Metro.
Aliff, yang popular digelar “abang terlajak laris”, berkata orang ramai boleh mengata apa sahaja tetapi penampilannya demi mencari rezeki yang halal.
Tambahnya, walau berdepan kritikan negatif orang ramai, pendapatannya itu tetap memberi sumbangan kepada agama dan negara.
“Dalam industri kosmetik, saya perlu bertarung dengan pelbagai jenama luar dan kalau saya tidak melakukan kelainan, saya duduk di takuk sama.
“Apa yang penting saya mencari rezeki halal untuk keluarga, bayar zakat, bayar cukai dan beli apa yang saya mahu.
“Impian saya ialah menjadi usahawan yang boleh menyumbang pada negara,” beliau dilaporkan berkata.
Baru-baru ini Aliff sanggup berhabis RM30,000 untuk membeli seekor kucing eksotik sebagai haiwan peliharaannya.
Dipercayai baka dari Afrika, kucing berbulu jingga dan bertompok-tompok hitam itu diberi nama Dody, berumur tiga bulan, kira-kira empat kali ganda saiz kucing biasa. – MalayMail