loading...

Adenan Bidas Sifat Angkuh Pemimpin DAP Di Sarawak

MIRI – Suhu politik semakin panas menjelang empat hari lagi sebelum 1.13 juta pengundi menentukan nasib 80 calon Dewan Undangan Negeri dalam pilihan raya negeri ke-11 pada 7 Mei ini.

 

Jumlah khalayak yang menghadiri ceramah terutama bagi DAP juga semakin meningkat mencecah 3,000 orang malam tadi di satu majlis di Sibu meskipun jauh daripada jumlah yang menghadirinya pada 2011.

 

Pada tempoh kempen 10 hari dalam pilihan raya berkenaan, DAP mampu menarik sehingga 10,000 khalayak yang berminat untuk mengetahui isu sensasi yang didedahkan berkaitan kepemimpinan negeri ketika itu.

 

Tetapi suasana , isu dan kepemimpinan antara 2011 dengan 2016 adalah jauh berbeza.

 
Semasa berucap di satu majlis dengan masyarakat Orang Ulu di sini Isnin, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem menghalakan sasarannya kepada gaya kepemimpinan pemimpin muda DAP yang disifatkannya sebagai angkuh dan terlalu bangga dengan diri sendiri.

 

Orang Ulu merupakan 6 peratus daripada 2.7 juta penduduk Sarawak. Daripada 82 kerusi, lima merupakan kerusi majoriti Orang Ulu.

 

“Mereka fikir mereka sudah terlalu baik. Mereka kritik apa-apa saja yang kita lakukan,” kata Adenan sambil mengimbas bagaimana beliau melakarkan perjalanan politik dan berkhidmat dalam kerajaan untuk tempoh empat dasawarsa.

 

Kata Adenan: “Saya sudah terlibat dalam politik dan pentadbiran kerajaan selama 40 tahun, dengan memegang pelbagai jawatan.”

 

Bagai memperli kepemimpinan muda DAP, beliau menyifatkan mereka seperti cucu, tetapi mereka begitu angkuh di Sarawak.

 

Dalam pilihan raya ini, DAP menampilkan pemimpin muda daripada pelbagai latar belakang dan kelayakan akademik.

 

Antara dua orang calon muda ditampilkan DAP adalah di kerusi Stakan yang diwakili Leslie Ting Xiang Zhi yang berusia 25 tahun dan Abdul Aziz Isa di Batu Kitang, berusia 27 tahun.

 

Leslie merupakan calon termuda dalam pilihan raya ini, manakala yang paling tua ialah Datu Sri Wong Soon Koh, calon langsung Barisan Nasional yang bertanding di kerusi Bawang Assan.

 

Aziz disifatkan sebagai bintang muda, dengan keupayaan berucap yang hebat.

 

Sesudah mencapai takah tepu dengan memenangi 12 daripada 15 kerusi bandar ditandinginya pada 2011, kini DAP cuba menerobosi kawasan luar bandar, dengan bertanding di 16 kerusi Dayak.

 

Baki 14 kerusi ialah kerusi majoriti Cina, dan satu kerusi majoriti Melayu.

 

Dalam satu kenyataan semalam pemimpin DAP Lim Kit Siang berkata, tujuh kerusi DAP dalam bahaya dalam pilihan raya ini. – SarawakVoice

Previous
Next Post »
loading...