MELAKA – Polis Melaka terus memberi penumpuan terhadap kes pecah rumah dan premis perniagaan sepanjang Op Selamat dijalankan sempena sambutan Tahun Baharu Cina walaupun jumlah kes tersebut mencatatkan penurunan tahun lepas.
Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Jalil Hassan berkata penurunan berkenaan ekoran kekerapan rondaan dan pemantauan yang dilaksanakan anggota unit peronda di kawasan perumahan dan perniagaan sepanjang cuti sempena perayaan berkenaan berdasarkan pemberitahuan yang dibuat pemilik premis menerusi borang makluman balik kampung.
“Berdasarkan rekod, kes pecah rumah dan premis perniagaan pada Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina pada tahun lepas menurun sebanyak empat kes kepada 19 kes berbanding 23 kes dalam operasi sama tahun 2016.
“Pemakluman pemilik premis tentang ketiadaan mereka sempena cuti sambutan Tahun Baharu Cina menerusi borang yang disediakan penting untuk pihak polis melakukan rondaan dan mengekang jenayah pecah rumah dan premis perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat 12 sempena Tahun Baharu Cina 2018 di sini, hari ini yang turut dihadiri Exco Pengangkutan, Pemulihan Projek dan Perdagangan Antarabangsa Melaka Datuk Lim Ban Hong.
Mengulas lanjut, beliau berkata sehingga kini pihaknya baru menerima kira-kira 200 borang makluman balik kampung daripada pemilik premis berbanding kira-kira 1,000 borang pada tahun lepas dan borang tersebut boleh diperoleh dari balai polis berhampiran atau ia boleh dimaklumkan menerusi lawan sesawang Polis Diraja Malaysia.
Abdul Jalil berkata kira-kira 2,500 anggota dan pegawai polis di negeri ini akan bertugas sepanjang Op Selamat berkenaan yang bermula sejak Jumaat lepas dan berakhir pada 23 Feb ini.
Beliau berkata Op tersebut juga akan melibatkan kerjasama bersepadu dengan agensi penguat kuasa dan keselamatan lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.
Sementara itu, beliau berkata berdasarkan kajian yang dilakukan Polis Kontinjen Melaka, kebanyakan kemalangan yang berlaku di negeri ini disebabkan kegagalan pengguna jalan raya mematuhi peraturan seperti memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu melebihi had laju yang dibenarkan dan menggunakan telefon bimbit.
“Sebanyak 783 kes kemalangan jalan raya direkodkan berlaku sepanjang Op Selamat pada tahun lepas sempena sambutan Tahun Baharu Cina berbanding 780 kes dalam Op sama tahun 2016,” katanya.
Beliau berkata penunggang atau pembonceng motosikal masih mendominasi angka kematian tertinggi dengan jumlah sebanyak tiga orang daripada lima kematian pengguna jalan raya pada tahun lepas berbanding tujuh kematian daripada sembilan kes kehilangan nyawa yang dilaporkan pada tahun sebelumnya. – BERNAMA
Loading...