KUALA LUMPUR – Seorang penasihat servis Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini atas 13 pertuduhan mencuri wang milik majikannya lebih RM6,000.
Nurul Wahida Yaakob, 30, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan ke atasnya dibacakan di dua mahkamah di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali dan Haslinda A. Raof.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-13, wanita itu didakwa mencuri harta iaitu wang tunai berjumlah keseluruhan RM6,709 milik Dasuki Motors Sdn Bhd (Perodua Authorised Parts & Service Dealer) di premis syarikat itu di Batu 7 3/4, Jalan Hulu Kelang, Hulu Langat, di sini antara Januari 2017 dan Januari 2018.
Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim dan Raihanah Abdul Razak manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan dia kini tidak bekerja dan tiada sumber pendapatan tetap.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 untuk kesemua 13 pertuduhan dan menetapkan 28 Mac untuk sebutan semula kesemua kes. – BERNAMA
*Sekadar Video Hiasan..
Loading...