SIAPA sangka filem yang sedang mengungguli carta box office atau pecah panggung, Black Panther terbitan Marvel Studios turut ada kaitan dengan seni mempertahankan diri Nusantara iaitu silat.
Ini didedahkan aktor utamanya, Chadwick Boseman yang memainkan watak adiwira T’Challa apabila bercerita dia dan pelakon lain berlatih untuk adegan pertarungan dengan mempelajari beberapa seni bela diri, termasuk silat.
Seperti yang dilaporkan Singapore Straits Times semalam, Boseman mendedahkan bahawa dia turut mempelajari seni mempertahankan diri tradisional yang sinonim dengan Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei itu.
Ia hasil penyelidikan yang dilakukan pengarah, Ryan Coogler. Jelasnya, Coogler dan pasukan produksinya melakukan kajian terperinci ke atas seni bela diri dari seluruh dunia yang turut melibatkan Silat Harimau.
Silat Harimau merupakan antara salah satu aliran silat Nusantara yang pergerakannya menyerupai harimau dengan melibatkan banyak aksi melompat dan menendang seperti haiwan tersebut.
“Pasukan produksi kami bekerja keras dalam menghasilkan koreografi menarik bagi adegan melawan. Ia melibatkan Capoiera dari Brazil, tinju Dambe (Nigeria), gusti Senegal.
“Juga aksi pertempuran menggunakan kayu Zulu, dan juga aksi mempertahankan diri Asia Tenggara seperti Muay Thai dan silat,” katanya kepada akhbar tersebut.
Kata Boseman, semua aksi mempertahankan itu kemudiannya digabungkan bagi menghasilkan satu identiti budaya menarik Wakanda, yang merupakan sebuah negara fiksyen menerusi filem tersebut.
Aktor berusia 40 tahun itu akan kembali melakonkan watak T’Challa dalam filem Avengers: Infinity War yang bakal ditayangkan pada bulan Mei depan.
Sebelum ini, Boseman pernah memuat naik satu video di laman Instagramnya tahun lalu yang menyaksikan dia sedang berlatih satu adegan melawan yang kelihatan seperti silat.
Seorang lagi pelakon Black Panther, Lupita Nyong’o, yang pernah memenangi anugerah Oscar melalui filem 12 Years A Slave pada 2013, turut dilihat mempamerkan gaya melawan seakan-akan silat untuk karakter dibawanya yang dinamakan Nakia.
Aktres itu sebelum ini melalui satu artikel dalam laman sesawang rasmi Marvel turut mendedahkan latihannya untuk filem tersebut merangkumi aksi judo, jiu-jitsu dan silat.
Nyong’o turut memuji kebolehan atletik yang dimiliki Coogler yang nyata membantu pelakon-pelakon untuk mencantikkan gaya pergerakan.
“Coogler mempunyai mentaliti seorang pejuang yang saya sangat perlukan.
“Saya tidak mengetahui apa yang perlu dilakukan sebagai seorang pejuang dan dia (Coogler) banyak membantu saya,” jelas Nyong’o.
Tambah Nyong’o, dia kini mampu melakukan aksi-aksi menarik di layar perak dan semuanya oleh kerana tunjuk ajar Coogler. – MYNEWSHUB.CC/EZ
Loading...