BESUT – Sebanyak 500 unit rumah di bawah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan dibina di kawasan Kampung Dendong, berdekatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Tembila tahun ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Mohd Mahdi Musa berkata projek kerajaan pusat melalui peruntukan yang disediakan oleh kerajaan negeri itu akan dibina dengan tiga jenis rumah iaitu jenis banglo, semi-D dan rumah mampu milik.
“Buat masa ini kawasan tapak bagi pembinaan perumahan berkenaan telah pun dibersih dan diratakan manakala majlis pecah tanah dijangka dibuat tidak lama lagi,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Information Technology For You ([email protected]) anjuran Fakulti Informatik dan Komputeran UniSZA Kampus Tembila Besut, semalam.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera itu berkata pembinaan penempatan baharu kelak diharap dapat menampung kakitangan dan juga pelajar UniSZA yang kini berdepan kesukaran mendapatkan tempat tinggal.
Sementara itu, UniSZA melalui Fakulti Informatik dan Komputerannya berjaya menyalurkan khidmat sosialnya kepada komuniti di kawasan Kota Putera melalui Program [email protected] untuk faedah sekolah, kampung, masjid dan pertubuhan sukarela.
Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Ahmad Zubaidi Latiff memberitahu dengan kerjasama UniSZA Digital Hub dan Syarikat Ledakan Digital serta Celcom Axiata Berhad, pihaknya berjaya membina laman sesawang dan laman e-dagang bagi mereka yang terlibat dalam program itu dan menganjurkan kursus teknologi maklumat (IT) kepada penduduk kampung.
Selain itu katanya, seramai 15 pelajar dari tiga sekolah menengah, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tembila, SMK Permaisuri Nur Zahirah dan Sekolah Menengah Agama Maarif diambil menjadi sekolah angkat kepada fakulti berkenaan.
“Khidmat sosial kali ini juga telah berjaya membina laman sesawang untuk Masjid Nasiruddin Shah, Kampung Raja, J3K Kampung Tembila, J3K Kampung Beting Lintang dan Unit Penyelamat Besut,” katanya.
Katanya, kira-kira 60 belia dari beberapa buah kampung termasuk petugas DUN Kota Putera juga dipilih mengikuti kursus Adobe Photoshop yang dikendalikan oleh fakulti berkenaan bermula semalam. – BERNAMA
Loading...