loading...

Tanjung Piai Perintis Projek Sistem Hidbrid Mini Hidro Terapung

PONTIAN – Tanjung Piai menjadi perintis pertama bagi projek sistem hibrid mini hidro terapung dengan peruntukan sebanyak RM200,000 daripada kerajaan negeri Johor.

Projek perintis Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) yang dilaksanakan dengan Toyama City dari Jepun dan kerajaan negeri Johor adalah selaras dengan Dasar Kelestarian Negeri Johor (DKNJ) dalam Teras 3 iaitu Promosi Teknologi Hijau dan Kelestarian Tenaga.

Ketua Eksekutif IRDA Datuk Ismail Ibrahim berkata projek itu merupakan projek perintis pertama yang menggunakan penjanaan tenaga diperbaharui dengan menggunakan hibrid mini hidro bersepadu jenis terapung di serantau Asia.

“Penjanaan kuasa bagi bekalan elektrik menggunakan kuasa daripada air dan solar berkapasiti 1,000 watt dan mampu menampung keperluan tenaga satu unit penghawa dingin berkuasa satu horse power (1hp) dan dua unit lampu selama lapan jam di Kaunter Tiket Taman Negara Johor, Tanjung Piai,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas pelancaran mini hidro hibrid di Taman Negara, Johor Tanjung Piai di sini, hari ini.

Ismail berkata projek perintis itu juga mampu mengurangkan perbelanjaan kerajaan negeri dalam bil utiliti dan membantu menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG).

Menurutnya projek itu juga berfungsi untuk kegunaan pendidikan, pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti teknologi hijau yang diambil dari Toyama City Council di bawah Future City Initiative (FCI).

“IRDA akan sentiasa mencari peluang untuk memperluas penggunaan sistem tenaga hijau ini terutama di kawasan luar bandar bagi membantu mengurangkan kos bayaran utiliti penduduk khususnya,” katanya.

Projek itu dijangka menjadi mercu dan tarikan utama pelancongan pendidikan di Taman Negara Tanjong Piai selain mendidik masyarakat mengenai kepakaran Toyama City dalam sistem tenaga hijau.

Sementara itu, Datuk Bandar Toyama Masashi Mori berkata pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan pihak IRDA dalam perkongsian sistem hibrid mini hidro berkenaan.

“Toyama City melawat Iskandar Malaysia beberapa kali sejak 2016 untuk mencari lokasi strategik bagi projek ini dan Tanjung Piai di Pontian dipilih kerana ia tarikan utama pelancong,” kata beliau.

Mori juga berharap Pontian, selaku Hab Tenaga Bersih dan Agro, dapat memberi pendedahan khususnya kepada kanak-kanak dalam penggunaan sistem tenaga hijau. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...