ALAHAI… Hanya satu peratus pemandu wanita di Malaysia mampu menguruskan sendiri masalah apabila kenderaan mereka mengalami kerosakan berbanding 48 peratus pemandu lelaki.
Ia berdasarkan satu kaji selidik itu yang dijalankan Bosch iaitu syarikat pembekal komponen automotif selepas jualan terkemuka, meninjau pendapat 350 pemandu Malaysia berumur antara 18 dan 55 tahun.
Kajian itu untuk mengukur tahap pengetahuan mereka tentang tabiat penjagaan bateri, yang sekali gus mendedahkan bahawa masalah bateri menjadi punca utama kenderaan mengalami kerosakan.
“Menerusi kaji selidik kami ada menunjukkan 70 peratus kerosakan kenderaan berpunca daripada kegagalan bateri untuk berfungsi ketika pemanduan. Ini bukan sahaja boleh menyusahkan, malah beri risiko kepada pemandu.
“Ia terutama dari segi keselamatan terutamanya pemandu wanita sekiranya mereka terkandas berseorangan,” kata pengurus negara bagi Bosch Automotive Aftermarket, Pang Yoon Kong, dalam kenyataan di ibu negara.
Kaji selidik itu juga mendapati 84 peratus wanita akan meminta bantuan keluarga dan rakan manakala 12 peratus daripada mereka menghubungi organisasi bantuan kenderaan apabila kenderaan mengalami masalah bateri.
Mengulas lebih lanjut Yong Kong seterusnya berkata masih ramai pemandu wanita yang tidak tahu cara mengelak kenderaan daripada mengalami kerosakan akibat bateri.
“Di Bosch, kami amat percaya tentang penting memberi kekuatan kepada pemandu, terutama wanita dengan menjadikan lebih berpengetahuan tentang kereta masing-masing serta mampu mengenal pasti tanda awal kegagalan bateri,” katanya.
Kaji selidik itu juga mendedahkan 29 peratus pemandu wanita, berbanding 22.6 peratus pemandu lelaki, masih menggunakan bateri jenis asid-plumbum berbanding bateri jenis tanpa penyenggaraan.
Yong Kong berkata bahawa pada masa ini, semakin banyak pemandu memilih bateri jenis tanpa penyenggaraan berbanding bateri asid-plumbum, yang kerap memerlukan penyenggaraan pemandu.
“Bateri jenis tanpa penyenggaraan mempunyai lebih banyak kelebihan kerana ia memiliki kuasa engkolan dan keupayaan mengecas lebih kuat, boleh dicas semula lebih cepat serta tahan lebih lama.
“Dengan itu, pemandu dapat menikmati pemanduan tanpa stres dan tidak perlu bimbang tentang paras air bateri,” kata Yong Kong. – BERNAMA/HAA
Loading...