loading...

Robert Kuok Nafi Tuduhan

KUALA LUMPUR – Jutawan Robert Kuok menafikan semua tuduhan yang dibuat sebuah portal terhadapnya dan berkata dakwaan bahawa beliau telah melupai asal usulnya adalah tidak benar sama sekali.

Dalam kenyataan dikeluarkan pejabatnya hari ini, Kuok menzahirkan penghargaan mendalam beliau atas peluang yang diterimanya serta mengiktiraf sumbangan rakyat Malaysia daripada semua keturunan, kaum dan agama terhadap pembangunan Malaysia.

“En Kuok menyanjung tinggi para pemimpin Malaysia, yang sepanjang hayat mereka, telah melakukan apa saja dengan sedaya upaya mereka untuk menyumbang kepada kesejahteraan rakyat Malaysia,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Kuok menolak dan menafikan dengan sekeras-kerasnya tuduhan palsu yang dibuat secara bersiri terhadapnya melalui tiga artikel yang disiarkan Malaysia Today antara 21 dan 23 Feb.

Tuduhan yang dibuat dalam artikel berkenaan termasuk Kuok membiayai The Malaysian Insight dan pelbagai parti politik bagi tujuan menumbangkan kerajaan Malaysia sedia serta mengadakan kempen bagi memanipulasi proses politik dan sistem demokrasi Malaysia.

Dalam kenyataan itu juga, Kuok berkata artikel berkenaan mengandungi fitnah yang amat serius dan tuduhan yang dibuat terhadap beliau adalah palsu, manakala serangan terhadap dirinya adalah tidak adil sama sekali.

“En Robert Kuok memandang dengan amat serius tuduhan tidak berasas itu dan berhak mengambil semua langkah perlu terhadap Malaysia Today serta pengarang berkenaan tuduhan palsu yang terkandung dalam artikel cabul Malaysia Today itu,” kata kenyataan tersebut. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...