loading...

Bunyi Kren Tumbang Seakan Guruh – Saksi

KUALA LUMPUR – “Saya terdengar bunyi dentuman kuat seakan bunyi guruh sebelum melihat sebuah kren terbalik beberapa puluh meter daripada kereta saya,” kata seorang saksi kejadian kren tumbang di tapak projek berhampiran Dataran Ukay di sini, hari ini.

Pekerja swasta, Nik Huzaini Nik Azman, 40, berkata ketika kejadian kira-kira 10 pagi itu di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2 ) dari arah Ulu Klang ke Ampang, beliau sedang memandu di belakang beberapa kenderaan dan sempat mengelak daripada turut terlibat dalam kejadian itu.

“Saya nampak kren jatuh dan beberapa kenderaan berdekatan berhenti secara mengejut… ada yang menyelamatkan diri melihat sebahagian besi kren jatuh dan menghempap jalan raya berkenaan,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian.

Penunggang motosikal Abdul Muhaimin Mohd Yahaya, 32, yang turut menggunakan laluan itu, pula mengucapkan kesyukuran kerana tidak terlibat dalam kejadian berkenaan.

“Waktu itu, saya dalam perjalanan menghala ke Ampang Point untuk ke tempat kerja dan selang beberapa minit saya dikejutkan dengan bunyi amat kuat.

“Apabila saya menoleh ke belakang saya lihat sebahagian besi kren terjatuh ke jalan raya dan menyebabkan beberapa kereta terhenti,” katanya.

Abdul Muhaimin yang melihat kejadian itu, segera memberhentikan enjin motosikal bagi membantu pemandu kereta yang lain di lokasi kejadian.

“Saya berharap selepas ini pihak pengurusan pembinaan ini akan lebih berhati-hati dan mengutamakan keselamatan semasa melakukan kerja pembinaan,” katanya.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian pada 2.45 petang mendapati proses pembersihan tanah sedang dilakukan bagi memudahkan sebuah kren pengangkut memasuki lokasi kejadian untuk mengalihkan kren terbalik berkenaan.

Dalam kejadian 9.58 pagi itu, ribuan pengguna MRR2 terperangkap beberapa jam dalam kesesakan lalu lintas khasnya dari arah Ulu Klang ke Ampang. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...