KUANTAN – Seorang lelaki warga Australia terselamat selepas pesawat ringan yang dipandunya terhempas berhampiran Ladang Kampung Melati, Rompin dekat sini, petang ini.
Ketua Polis Daerah Rompin DSP Azli Mohd Noor berkata pesawat milik Syarikat Woorayi Air Services itu dilaporkan terhempas pada pukul 3.20 petang semasa melakukan operasi meracun ulat bungkus di Felda Keratong 2, Rompin.
“Warga Australia itu, Barry Allen Foster, 66 tidak mengalami kecederaan namun dibawa ke Pusat Kesihatan Tun Razak untuk pemeriksaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Sani Harul berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 3.20 petang.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah dan operasi terkawal pada pukul 6.40 petang. – BERNAMA
Loading...