loading...

RM40 Juta Untuk Jadikan Kiamsam Bandar Perikanan

LABUAN – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan RM40 juta untuk menjadikan Kiamsam bandar perikanan yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk petempatan nelayan.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata usaha itu adalah kesinambungan fasa pertama bernilai RM10 juta yang siap dan beroperasi tahun lepas.

Keseluruhan projek dijangka siap dalam masa dua tahun dengan pembangunan fasa kedua ini dijadualkan bermula pada suku kedua tahun ini, katanya pada pelancaran Blueprint Bandar Perikanan dan Majlis Ramah Mesra Rakyat di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), di sini hari ini.

Beliau berkata daripada keseluruhan peruntukan yang diluluskan itu, RM15 juta adalah untuk penempatan semula nelayan.

“Pembangunan fasa kedua ini turut merangkumi penyediaan kemudahan pendaratan tambahan bagi menampung keperluan pengusaha,” katanya yang menjangka projek tersebut membawa manfaat ekonomi kepada hampir 3,000 penduduk dan 500 pengusaha tempatan selain membuka kira-kira 1,000 peluang pekerjaan.

Ahmad Shabery juga yakin langkah menjadikan Kiamsam bandar perikanan akan mengimbangi kepadatan di pusat bandar Labuan.

Beliau juga berkata keputusan itu seiring dengan Blueprint Labuan 2018 yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

“Ia juga dijangka meningkatkan aktiviti pendaratan dan seterusnya memberi impak ekonomi kepada semua yang berkepentingan dalam sektor perikanan di Labuan,” kataya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan replika cek Elaun Sara Hidup Nelayan bernilai RM1.25 juta kepada Persatuan Nelayan Kawasan Labuan serta cek Bantuan Skim Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan kepada 17 penerima dengan nilai keseluruhan RM36,100.

Selain itu, beliau juga menyampaikan Bantuan Touch Point Akuakultur kepada dua penerima berjumlah RM22,500. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...